Menceritakan detik kejayaan itu, pengurus pasukan, Azrul Zabani berkata, ekspedisi ini turut disertai dua kru sokongan iaitu Rashdan Rosli dan Mohd Ridlwan Mat Sam. Selepas empat jam melalui sekatan dan pemeriksaan peralatan di lapangan terbang, akhirnya pasukan ekspedisi menemui Hosam Salah dari agensi pelancongan Egyptian Qatar yang sudah lama menunggu di luar lapangan terbang.

Kami dimaklumkan pihak polis akan mengiringi ekspedisi sehingga ke Cairo. Dari awal pagi, polis telah berada di hadapan hotel. Suhu sepanjang ekspedisi adalah antara 5 hingga 12 darjah celsius. Doa dan selawat mengiringi permulaan kayuhan. Dengan lafaz Bismillah dan Malaysia Boleh, kayuhan bermula tepat pukul 6 pagi pada 6 Februari 2017. Kereta polis mengiringi kami dan kayuhan ini disifatkan sebagai kayuhan untuk mengenali struktur jalan, keadaan angin, suhu sejuk dan panas. Kayuhan dalam jarak 215 km tamat pada pukul 6 petang di Luxor.

Kayuhan hari kedua adalah dari Luxor ke Assyut. Walaupun cuaca sejuk tetapi terik tetap dirasai. Bahang panas membuatkan kami kerap minum dan membasahkan kepala. Untuk meredakan kepanasan, kru sokongan menyiram air kepada peserta. Berbotol-botol air digunakan untuk menyejukkan badan. Kami berhenti makan tengah hari di pekan Shaq. Kayuhan disambung pada pukul 2 petang dan selepas berkayuh sejauh 204 km, kayuhan tamat pada pukul 5.30 petang di Assyut.

Hari ketiga menyaksikan peserta berkayuh dari Assyut ke El Minya. Di sini, kami mendapat sokongan polis yang sangat baik. Kami diiringi lima buah kereta polis termasuk polis bermotosikal. Laluan Assyut ke El Minya melalui pekan yang sangat sibuk. Setiap kali memasuki pekan, polis akan membunyikan siren untuk memberi laluan kepada kami. Suasana di pekan menjadi gamat dan kenderaan yang banyak mula memberi laluan kepada kami. Mereka semua melambaikan tangan dan mengucapkan hello dan good kepada kami. Dhiya dan Saliza hanya mampu melambaikan tangan. Pada masa yang sama, mereka terpaksa memegang hendal dengan cermat kerana kebanyakan jalan di sini menggunakan corak turapan jalan berbentuk seperti batuan refleksologi dan berbonggol. Di sinilah, baju Saliza ditarik oleh seorang kanak-kanak yang berdiri di bahu jalan sehingga menyebabkannya hampir terjatuh. Syukur kerana Saliza dapat mengawal basikal. Kayuhan sejauh 132 km tamat pada pukul 5 petang di El Minya.

Semuanya berjalan mengikut jadual. Hari keempat menyaksikan mereka memulakan kayuhan dari El Minya ke Kaherah tepat pukul 7 pagi. Kayuhan hari ini lebih mengujakan kerana melalui sepenuhnya laluan gurun. Walaupun kayuhan di atas permukaan lebuh raya, namun bagi Dhiya dan Saliza, laluan ini sangat ‘mental’. Dari jauh kelihatan lebuh raya seakan berbukit, naik dan turun. Angin sejuk yang sangat kuat memaksa mereka menggunakan gear rendah. Justeru, ketika menuruni bukit, kedua-duanya menjerit kelegaan. Begitulah keadaannya di sepanjang kayuhan ke Kaherah. Mereka menghabiskan kayuhan sejauh 148 km pada pukul 6.30 petang.

Kayuhan hari kelima menuju ke Suez, bermula pukul 7.15 pagi. Masih berlandskapkan sepenuhnya Gurun Sahara. Jalan yang lurus dan panjang serta pemandangan yang saujana mata memandang membuatkan kami tidak bosan menikmatinya. Hari ini, angin terlalu kuat. Sesekali kelihatan Saliza dihayun ke tepi jalan kerana tubuhnya yang ringan. Kayuhan semakin berat dan sukar apabila menempuh laluan mendaki. “Saya kalah pada angin yang kuat ketika mendaki. Jadi, saya lebih selesa menggunakan gear sederhana rendah dan bercadence dengan laju. Gear paling rendah adalah gear 4. Kalau direndahkan sehingga gear 3, takut terjatuh ditiup angin,” katanya yang risau apabila lori besar dan laju menghampirinya.