Pasukan yang sudah 15 tahun bertapak di Malaysia bagi perlawanan bola sepak jalanan dan futsal itu akhirnya bakal mewakili Malaysia ke peringkat dunia di Brazil pada Julai ini.

Bakal berhadapan dengan 64 lagi pasukan bola sepak lima sebelah dari seluruh dunia, Hyper Rich tidak menyangka mampu merebut peluang itu apabila menjuarai peringkat kebangsaan.

Bagi kapten pasukan, Naavin Krishnan, 32, peluang keemasan seperti itu sememangnya amat ditunggu-tunggu dan apabila tercapai, ia merupakan satu kebanggaan buat semua ahli pasukan.

“Dua tahun kami berentap untuk melayakkan diri ke peringkat antarabangsa, namun gagal. Bagaimanapun, kegagalan itu bukan penyebab untuk kami berhenti.

“Dengar sahaja penganjuran kejohanan untuk tahun ini diadakan, kami mula berlatih tiga kali seminggu selama dua jam setiap kali sesi latihan dengan meningkatkan tahap kecergasan dan menumpukan kepada aspek pergerakan taktikal dan ketepatan strategi,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Selepas empat pusingan sengit yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara bermula Mac lalu, sebanyak 16 pasukan terpilih untuk ke pusingan akhir peringkat kebangsaan dan Hyper Rich akhirnya menjuarai kejohanan itu, sekaligus melayakkan diri ke pusingan akhir peringkat dunia.

Menurut Naavin, kejohanan Neymar’s Junior Five ini berbeza dengan permainan futsal kerana ia mempunyai peraturan yang berlainan.

Neymar Junior’s Five adalah perlawanan bola sepak anjuran bintang Brazil yang juga bermain untuk Kelab Paris Saint-Germain, Neymar serta Red Bull Product of Europe yang melibatkan lima pemain utama dan dua pemain simpanan.

Permainan selama 10 minit itu agak unik apabila tidak ada penjaga gol di gawang dan setiap kali pasukan yang bertanding menjaringkan gol, lawannya perlu menyingkirkan seorang ahli.

Setiap pasukan hanya boleh memasukkan dua orang pemain yang berumur lebih daripada 25 tahun.

Kata Naavin, memandangkan saiz gol yang lebih kecil berbanding permainan futsal, perlawanan bola sepak lima sebelah Neymar Junior’s Five ini menjadi cabaran terbesar buat pasukan Hyper Rich.

“Kami sudah menyertai beratus perlawanan dan kejohanan, namun perlawanan Neymar Junior’s Five ini yang paling mencabar kerana memiliki gawang gol yang lebih kecil. Jadi, pergerakan taktikal kami begitu berbeza dengan futsal,” katanya.

Tambahnya, selain latihan intensif setiap minggu, pasukannya juga menjadikan rakaman video permainan pasukan lain di dunia yang disiarkan di YouTube sebagai panduan teori.

Katanya, walaupun terpaksa berentap dengan lebih 60 lagi pasukan di dunia, Hyper Rich tetap menanam keyakinan bahawa mereka mampu untuk mengharungi cabaran selama tiga hari bermula 18 sehingga 21 Julai 2018 nanti.

Pusingan akhir peringkat dunia yang akan diadakan di Instituto Projeto Neymar Junior di Sao Paolo, Brazil itu akan menerbangkan tujuh anggota Hyper Rich iaitu Naavin, Kisshaen Ananthan, 22; Devan Siwasody, 33; Hakim Rahman, 25; Ahmad Marzuqi Azizi, 25; Vigneshwaran M. Sundram, 25; dan Kelvin Raj Anandhan, 25.

Bagi Kelvin Raj, dia bangga kerana dapat mewakili Malaysia ke peringkat dunia yang pastinya menjadi impian setiap pemain bola sepak amatur.

“Walaupun juara bertahan, Romania dikatakan pasukan kuat, kami perlu mengetepikan perasaan gerun itu.Apa yang penting, yakin dan percaya kami boleh lakukan,” katanya.

Devan yang sudah 15 tahun bermain dengan Hyper Rich pula menganggap peluang beraksi di Brazil itu bukan mudah diperolehi dan sudah pasti dia akan bermati-matian menentang lawan pada peringkat dunia nanti.

Sementara itu, Ahmad Marzuqi pula menyatakan sememangnya dia menyimpan impian untuk bertentang mata dengan Neymar yang menjadi antara pemain bola sepak idolanya.

“Ini menjadi rezeki saya dapat menyertai ke Brazil. Kami akan buat sehabis mampu dan yang terbaik untuk mengharumkan Malaysia di sana nanti,” katanya.

Bagi Hakim pula, sememangnya menjadi impiannya untuk bertemu dengan Neymar di Brazil dan menjadikan pengalaman mewakili Malaysia sebagai peluang keemasan bertemu beliau.