Bezanya kumpulan ini adalah pencinta haiwan, bidikan dan tembakannya adalah tepat tapi tidak “membawa maut”. Mereka hanya merakam pergerakan subjek dengan penuh perhatian, berhati-hati tanpa jemu. Tak ubah seperti seorang pemburu, bezanya peralatan mereka lebih berat, lebih canggih dan mahal.

Kesempatan bersama dua orang peminat burung, Hasbullah Hashim, 55, dan rakannya Abd. Jalil Shinin, 61, merupakan saat terbaik untuk berkongsi tip dan teknik merakam gambar burung terbaik melalui perspektif dan pengalaman mereka.

Mereka senada dan bersetuju, perkara utama untuk “memburung” ialah kecergasan tubuh badan. Bagi mereka, peralatan fotografi untuk membidik burung agak berat. Hasbullah Hashim yang mengunakan peralatan kamera Nikon D7200, telephoto Nikkor AF-S 200-500 f5.6E beserta tripod khas bagi menampung berat peralatan.

Abd. Jalil Shinin pula membawa peralatan Nikon D5, telephoto 600mm f4E bersama tripod untuk menuju ke lokasi stategik dalam misi mereka “memburu burung”. Berat ini belum termasuk kamera dan telephoto kedua, bekalan makanan dan minuman sepanjang mereka “memburung”.

Lebih mencabar lagi bila mereka perlu menyusup jauh ke dalam belukar dan hutan simpan, dan terpaksa bergerak bagi mendapat sudut dan lokasi terbaik untuk merakam burung dalam jangkauan telefoto mereka. Jarak tidak boleh terlalu jauh mahupun terlalu dekat, kerana telefoto mereka mempunyai jarak-jarak tertentu untuk membidik dengan selesa.

Lens yang sesuai untuk membidik burung adalah bermula dari 300mm, 400mm, 500mm dan 600mm. Manakala aperture terbaik adalah bermula dari f2.8, f4 atau sekurang kurangnya f5.6. Lebih kecil dari ini akan memberi masalah dalam kawalan pencahayaan. Biasanya mereka mengunakan bukaan f-stop terbesar untuk mendapat depth of field yang baik, supaya subjek kelihatan timbul.

Bagi mengimbangi pergerakan burung mereka menggunakan speed yang sesuai dengan iso serendah yang boleh bagi menjamin kualiti foto. Tidak lokek berkongsi rahsia mendapatkan foto menarik, mereka memberitahu, pertama eye contact, burung tersebut mesti “memandang” arah kamera atau sekurang kurangnya ia “perasan” sedang dirakam.

Kedua eye level, bagi mendapatkan foto yang menarik, kedudukan burung tersebut tidak boleh tertalu tinggi kerana jika terlalu tinggi kita hanya berjaya merakam bahagian bawah badan burung tersebut saja.

Ketiga moment, iaitu burung itu mesti dirakam seolah-olah sedang beraksi di depan kamera dan yang akhir ialah sharpness. Foto burung tersebut mesti jelas dan menonjol. Selain memahami asas teknikal dan skil tertentu untuk “memburung” kita juga mesti peka dan memahami habitat burung antaranya seperti tingkah laku burung, pergerakan dan makanan kesukaannya.

Pada yang berminat, pakaian juga perlu dititik-beratkan. Pakailah pakaian yang sesuai seperti anda hendak trakking di hutan. Warna pakaian pula mestilah menyamai warna-warna hutan, kerana ia adalah salah satu teknik penyamaran dan memudahkan pergerakan mencari lokasi sesuai tanpa “mengganggu” pandangan burung itu.

Teknik memanggil burung juga didapati banyak membantu. Dengan menggunakan pembesar suara kecil, mereka akan memainkan “suara-suara” burung tertentu untuk “memanggil” burung tersebut supaya datang dekat.

Selain lokasi, masa “memburung” juga adalah penting. Waktu pagi dan petang adalah masa yang sesuai kerana waktu ini burung akan keluar dari sarang untuk memburu dan mencari makan. Waktu ini juga sesuai untuk mendapatkan foto yang baik kerana cuaca ketika ini adalah terang tapi tidak terlalu panas.

Matlamat “memburung” sebenarnya bukanlah untuk merakam foto burung sahaja tetapi lebih kepada jenis dan spesies burung. Nilai sesuatu foto akan meningkat jika mereka dapat merakam spesies burung yang sukar dilihat dan jarang dirakam kamera.

Lebih rare burung tersebut lebih mahal nilainya di pasaran. Nilainya juga berbeza jika berjaya merakam burung ketika beraksi seperti "burung semasa memburu mangsa”, burung bermain sesama sendiri dan ketika sedang membuat sarang.

Fotografi adalah hobi yang mahal. Tetapi jika pandai merancang dan mengurus hobi ini dengan betul, ia akan memberi pulangan yang “berbaloi” kepada peminatnya. Jadi perancangan yang rapi perlu diambil jika anda berminat dengan hobi ini, terutamanya "memburung."