Pengunjung, Elangovan Krishnan, 49, yang hadir bersama-sama anaknya bertekad untuk menyaksikan perlumbaan tersebut pada hari esok kerana amat meminati sukan perlumbaan kereta.

“Saya pasti akan datang semula esok dengan keluarga kerana amat meminati sukan perlumbaan kereta.

“Tambahan pula, saya juga merupakan pengguna kereta jenama Toyota dan sudah pasti tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti hari ini dan esok,” katanya ketika ditemui Utusan Online pada TGR 2018 yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil dekat sini hari ini.

TGR 2018 yang berlangsung selama dua hari bemula hari ini dan berakhir esok itu turut melibatkan artis terkenal tanah air seperti Fattah Amin, Diana Danialle, Janna Nick, Shukri Yahaya, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee.

Artis-artis tersebut turut mengambil bahagian dalam siri perlumbaan itu iaitu bagi kategori ‘Promotional Class’ serta kategori-kategori lain yang dipertandingkan adalah ‘Sporting Class’ dan ‘Super Sporting Class’.

Di samping itu, TGR juga menjanjikan aktiviti-aktiviti sampingan yang menarik sesuai untuk pelbagai lapisan umur seperti pandu uji kereta, cabutan bertuah, persembahan drift oleh juara dunia dari Jepun dan sesi bertemu selebriti.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Muhammad Farid Fadzil, 27, berpendapat acara tersebut wajar diteruskan kerana merupakan platform yang tepat untuk anak muda yang meminati sukan lumba kereta untuk meluangkan masa mereka dengan berkualiti.

“Saya tahu mengenai TGR 2018 melalui rakan-rakan yang berkongsi di laman media sosial. Pameran kereta yang ditonjolkan juga menarik dan amat sesuai bagi anak-anak muda yang meminati sukan lumba kereta untuk turut serta,” katanya.

Dalam masa sama, Nor Reha Obit, 34, yang hadir bersama dua lagi anak kecilnya teruja dengan aktiviti yang diadakan pada TGR 2018 sehingga sanggup untuk hadir semula pada hari esok.

“Siapa sangka acara lumba kereta juga merupakan acara yang sesuai untuk keluarga mengisi masa lapang bersama dan saya memuji TGR 2018 kerana dapat menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk anak-anak kecil.

“Tempat yang disediakan juga kondusif serta aktiviti ini juga sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur,” katanya. – UTUSAN ONLINE