Namun demikian, dia tidak mahu sekadar ‘goyang kaki’ dan seterusnya mencari hobi sendiri untuk mengisi masa lapang.

Norshila mula menghadiri pelbagai kelas seperti kelas jahitan, solekan, membuat kek dan pembuatan kraf tanah liat, yang akhirnya telah berjaya menarik perhatiannya.

Kerana terlalu meminati seni pembuatan kraf tanah liat, wanita ini sanggup membelanjakan lebih RM50,000 sejak 2010 untuk mengikuti kursus mana-mana akademi kraf tanah liat tempatan dan luar negara kerana melihat produk ini mempunyai pasaran yang luas di Malaysia.

“Saya melihat seni kraf tanah liat sangat menarik untuk diterokai. Lagipun di Malaysia tidak ramai pembuat kraf tanah liat jenis ini, yang mana produk-produk yang dihasilkan boleh dijadikan barangan perhiasan miniatur, patung, cenderamata, pokok bunga dan sebagainya.

“Saya pula seorang yang kreatif, melalui tanah liat saya dapat menyalurkan kemahiran untuk menghasilkan pelbagai rekaan menggunakan pelbagai jenis tanah liat buatan.

“Ketika melalui detik sukar apabila ayah meninggal dunia dan saya mula mengalami kemurungan yang teruk, aktiviti inilah yang saya lakukan umpama terapi untuk memulihkan kembali keadaan saya,” katanya kepada Mega Rona ketika ditemui di studio Scraft Malaysia di Bandar Saujana Putra, Selangor, baru-baru ini.

Dalam tempoh tersebut, Norshila hanya membuat kraf berkenaan secara suka-suka, namun dia sudah mula mengumpul produk kraf sendiri kerana merancang untuk membuka kedai dalam tempoh enam tahun akan datang.

Ternyata percaturannya membuahkan hasil, apabila sejak dua tahun lalu dia memperkenal produk hasil kraf tangan buatannya menerusi jenama Scraft Malaysia yang mendapat sambutan menggalakkan.

Wanita ini menjual pelbagai produk rekaan kraf tanah liat buatan, membuat tempahan khas, menjual peralatan membuat kraf tanah liat, serta membuka studio untuk mengajar mereka yang berminat mempelajari teknik pembuatan kraf tanah liat buatan.

“Selain menjual produk, buat masa sekarang sasaran Scraft Malaysia adalah melahirkan lebih ramai pembuat kraf tanah liat di Malaysia, namun disebabkan ketiadaan pembuat kraf yang mengkomersialkan produk mereka, sukar untuk mengetengahkan produk ini ke dalam industri.

“Saya turut membuat kelas persendirian dengan pergi ke rumah-rumah pelanggan di sekitar Semenanjung Malaysia yang berminat untuk mendalami kemahiran membuat kraf ini.

“Kebanyakan pelanggan adalah suri rumah, pelajar, dan gadis-gadis muda yang berminat untuk menjana pendapatan melalui penghasilan kraf tanah liat untuk dijual secara online,” katanya yang pernah menjual sebuah terrarium dengan rekaan pokok orkid pada harga sekitar RM4,000.

Bersyukur kerana anak sulungnya, Nur Zamila Syazwani Norizam, 21, atau lebih dikenali sebagai Mila menunjukkan minat untuk menyambung legasinya dalam pembuatan kraf ini, dia berharap kerjasama mereka berdua dalam memperkenal kraf ini dapat memenuhi impiannya untuk membuka sebuah muzium kraf tanah liat suatu hari nanti.

Ujarnya, Mila ketika zaman persekolahannya adalah seorang yang sangat pemalu dan kurang keyakinan diri, namun apabila diperkenalkan dengan pembuatan kraf tanah liat, Mila mula berubah menjadi seorang yang positif.

Kraf tanah liat buatan Scraft Malaysia boleh dilihat di Instagram @scraft_malaysia.