Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan kulit wajah yang sempurna, malah kebanyakan wanita tidak kisah berbelanja besar untuk membeli produk-produk kecantikan demi untuk mendapatkan kulit wajah diidamkan.

Ada juga yang menjadikan rawatan muka di spa sebagai rutin wajib, namun tidak semua menjanjikan kesan terbaik dalam tempoh yang singkat.

Sejak kebelakangan ini, kecoh diperkata oleh wanita di Indonesia tentang rawatan kulit wajah ‘sulam bedak’, yang dikatakan mampu mencerahkan kulit wajah kusam hanya dalam tempoh satu jam, sehingga menjadi trend kecantikan di negara tersebut.

Di Korea Selatan, rawatan bukan invasif (tanpa suntikan dan torehan) ini, sudah diperkenal sejak beberapa tahun lalu, yang menggunakan istilah BB Face Glow atau Water Shine BB Glow.

Rawatan ini dipercayai mampu mencerahkan dan meratakan warna kulit wajah sama seperti memakai bedak.

Mereka yang telah mencuba rawatan ini mengatakan bahawa wajah kelihatan lebih bersinar dan cerah, bahkan tidak perlu lagi memakai bedak asas.

Pusat kecantikan Prestige Medispa, merupakan antara spa terawal memperkenal rawatan sulam bedak di negara ini.

Perunding kecantikannya, Dr. Kauthar Ismail berkata, trend semasa menunjukkan masyarakat di negara ini khususnya wanita, cenderung untuk memiliki kulit wajah yang putih dan mulus menyebabkan mereka obses untuk mendapatkan produk, kosmetik dan suplemen pemutih kulit.

Lambakan produk di pasaran menyebabkan golongan ini ghairah dan pada masa sama keliru tentang produk yang baik untuk mereka.

“Bidang estetik semakin hari semakin berkembang dengan adanya teknologi canggih dan prosedur inovatif. Namun, masih ramai lagi yang tidak menyedari kepentingan penjagaan kulit wajah oleh pakar kecantikan yang boleh menawarkan pelbagai rawatan kecantikan mengikut permasalahan mereka.

“Apabila mereka menyelesaikan sendiri masalah tanpa bantuan pakar, kadangkala mereka membuat pemilihan produk yang tidak betul, yang akhirnya ada segelintir menderita akibat penggunaan produk yang mengandungi bahan terlarang.

“Sebaliknya, rawatan sulam bedak ini adalah untuk wanita yang mengimpikan memiliki kulit cerah dan bersih, dalam masa yang sama selamat untuk digunakan, tidak menyakitkan dan menunjukkan kesan serta-merta selepas rawatan dijalankan,” katanya ketika ditemui di Prestige Medispa, di Prima Sri Gombak , Gombak, Selangor baru-baru ini.

Dia yang turut ditemani rakan kongsinya, Dr. Nur-Athirah Md. Nor, berkata sulam bedak adalah rawatan estetik yang masih baharu dalam industri kecantikan di Malaysia dan masih ramai wanita tidak tahu tentang rawatan ini, berbanding di Indonesia yang sudah dikatakan menjadi trend kecantikan di sana.

Katanya, mereka yang sudah melakukan rawatan ini menunjukkan keberkesanan apabila wajah mereka tampak lebih bersinar, berseri, cerah, malah tidak perlu lagi mengenakan bedak asas.

Selain memberikan kecerahan yang diingini, sulam bedak juga mampu mengecilkan pori-pori, tona kulit menjadi lebih sekata, mengurangkan wajah yang berminyak, memudarkan parut jerawat dan mengurangkan masalah jerawat.

“Sebelum melakukan sulam bedak, wajah pelanggan akan dibersihkan terlebih dahulu dengan menggunakan teknik double cleansing untuk memastikan wajah benar-benar bersih.

“Kulit wajah yang bersih kemudian akan melalui proses pengewapan bagi membuka pori dan hydrogen toning untuk menarik sel-sel kulit yang telah mati sebelum sulam bedak dilakukan.

“Setelah itu, wajah akan disapu dengan krim bius untuk meminimumkan rasa sakit ketika rawatan dilakukan. Mesin Meta Therapy digunakan untuk membentuk pori-pori halus supaya proses penyerapan serum bedak asas berpigmen lebih efektif masuk ke dalam kulit yang mengambil masa selama 30 minit.

“Kemudian, wajah akan dibersihkan dan disapukan topeng hydrolgel bersama lampu LED untuk memberi tona wajah lebih sekata serta menjadikan penyerapan lebih maksimum,” katanya sambil menunjukkan demonstrasi rawatan sulam bedak.

Tidak perlu risau jika ada yang merasakan warna kulit tidak sesuai untuk melakukan rawatan tersebut, Dr. Kauthar berkata, pihaknya menyediakan tiga rangkaian warna khusus buat mereka yang mempunyai wajah gelap sehingga wajah cerah.

Sulam bedak mampu bertahan sehingga enam bulan namun jika inginkan ia bertahan dalam jangka waktu yang lebih panjang digalakkan untuk melakukan rawatan setiap empat bulan sekali. - Gambar HALIM KHALID