Katanya, ini merupakan kereta ketiga yang dimilikinya setelah tujuh tahun terlibat dalam sukan tersebut sejak tahun 2011.

“Ramai yang masih belum mengetahui mengenai sukan ini kerana kurang pendedahan dilakukan dan kebanyakannya menganggap perlu berbelanja besar untuk menceburi bidang ini.

“Bagi saya, apa yang penting adalah minat dan amat menggalakkan orang ramai untuk menceburi bidang permotoran kereta ini,” katanya ketika ditemui pada pameran kereta ‘All Car Nation’ di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini.

Pameran yang diadakan sempena program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) itu pertama kali dianjurkan oleh Art of Speed Malaysia.

Dalam pada itu, Gymkhana merupakan salah satu sukan permotoran kereta yang memerlukan pemandu menghasilkan beberapa teknik dalam masa yang paling singkat di atas trek disediakan.

Antara teknik yang terlibat adalah pusingan 180 dan 360 darjah serta teknik ‘figure 8s’.

Sementara itu, Pengasas All Car Nation, Asep Ahmad menyasarkan 1000 buah kereta yang diubah suai dari segi kuasa motor dan restorasi akan mengambil bahagian dalam pameran tersebut sepanjang dua hari program itu berlangsung.

“Pameran ini memberi peluang kepada peminat dan kelab-kelab kereta serta pengunjung merasai sendiri aktiviti menarik yang diadakan pada program tersebut selain daripada pameran kereta.

“Antara aktiviti menarik adalah kami menyediakan kereta ‘drift’ dan pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman menaiki kereta tersebut yang dipandu oleh para professional,” kata Asep. – UTUSAN ONLINE