Motosikal ini menuntut penghayatan daripada penunggangnya. Hanya yang mampu menghayati keunikannya barulah dapat menikmatinya. Rekabentuk motosikal 90cc ini menggabungkang klasik dan retro, pada masa yang sama mempunyai `starter’ elektrik.

Ketika menunggang motosikal ini pelbagai perasaan dan pelbagai hal bermain di dalam fikiran saya. Kadangkala saya terasa seperti ketua kampung yang sedang melawat kampung, tiba-tiba pula saya rasakan seperti hero di dalam filem Tamil dan sesekali terasa bagaikan menunggang `bobber’.

Kebetulan semasa saya menunggang hujan turun dan terpaksa berhenti di bawah jambatan. Ramai yang bertanyakan tentang motosikal ini, kerana kagum dengan bentuknya yang unik.

Cuma kebimbangan yang dilahirkan adalah kuasa kuda yang kecil dan mereka mencadangkan supaya diberikan kuasa yang lebih mantap untuk model seterusnya.

Agak teruja saya apabila ada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson yang berhenti bersama-sama di bawah jambatan, turut menjeling-jeling motosikal Demak yang saya tunggangi.

Mereka pastikan tertanya-tanya apakah agaknya model motosikal yang comel dan klasik, cuma mereka mungkin malu-malu untuk bertanyakan seperti penunggang motosikal lain.

Motosikal empat lejang ini hanya mempunyai empat gear dan mampu mencapai kelajuan maksimum 80 kilometer sejam. Walaupun mempunyai enjin berkuasa kecil tetapi perlu berhati-hati ketika memulas pendidik semasa gear rendah kerana daya tujahannya yang agak kuat.

Harganya dikira berpatutan iaitu RM2,872.60 termasuk GST. - UTUSAN ONLINE