Latte, mocha, Americano, flat white dan cappuccino adalah antara jenis minuman kopi terkenal yang memiliki proses penyajian dan pengolahan unik cukup untuk menjadikan budaya minum kopi sebagai gaya hidup baharu anak muda di negara ini.

Jika sebelum ini kopi-kopi sebegini hanya boleh dinikmati di kafe-kafe mewah yang dibuat oleh barista, kini anda boleh membuat sendiri kopi yang didatangkan khas dari London iaitu Costa Coffee tanpa perlu memikirkan di mana anda perlu ‘melepak’ untuk menikmati secawan kopi.

Jenama global ikonik ini telah melancarkan 71 mesin layan diri Costa Express di cawangan-cawangan Shell Select malah Malaysia dipilih sebagai salah satu pasaran yang julung kalinya memperkenal minuman berais dalam Costa Coffee layan diri ini.

Jenama kopi kedua terbesar di dunia yang telah mendapat tempat di hati penggemar kopi Eropah ini telah memperkenal mesin layan diri yang direka oleh syarikat yang terkenal kerana pembuatan reka bentuk Ferarri klasiknya iaitu Pininfarina.

Pengarah Urusan Costa Express, Scott Martin berkata, setiap mesin layan diri Costa Express menawarkan adunan istimewa Costa Coffee, iaitu Mocha Italia segar.

Dengan lebih daripada 200 kombinasi kopi, pelanggan berpeluang untuk membancuh sendiri minuman kegemaran mereka daripada menambah susu sehinggalah kepada memilih sirap berperisa mengikut cita rasa mereka.

“Costa Coffee kini terkenal seiring peneraju-peneraju kopi terhebat dunia yang berpengalaman sejak ia ditubuhkan pada tahun 1971.

“Kami amat gembira untuk melanjutkan operasi global kami melalui pelancaran terbaharu ini di Malaysia yang sememangnya kini dinamik dan berkembang dengan budaya kopinya.

“Dengan kepesatan Shell di Malaysia, kerjasama ini memberikan kami platform ideal untuk memperluas jenama kami dalam pelbagai pasaran,” katanya dalam majlis pelancaran Costa Express di Shell Kota Damansara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd. Shairan Huzani Husain berkata, Shell amat mengutamakan kepuasan para pelanggan.

“Kami sentiasa menaik taraf cawangan kami termasuk ‘food oasis’ supaya para pelanggan mendapat pengalaman membeli-belah yang lebih baik pada bila-bila masa.

‘Food oasis’ kami menawarkan kepelbagaian pastri yang segar dibakar setiap hari melalui deli2go, di samping makanan dan minuman daripada rakan perniagaan tempatan dan antarabangsa yang lain.

“Hirupan kopi terasa tidak lengkap tanpa pastri. Jadi gabungan mantap antara Shell dan Costa Coffee ini seiring dengan misi Shell untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami.

“Kini pelanggan dan penggemar kopi boleh menikmati kopi berkualiti pada bila-bila masa sahaja dan kami harap rakyat Malaysia akan mengunjungi Shell Select untuk merasai kemudahan yang kami sediakan sambil menikmati Costa Coffee,” ujar Shairan.

Antara pilihan minuman panas yang ada termasuklah black/white Americano, coppucino, latte, flat white, mocha, dan hot chocolate, manakala untuk minuman sejuk pula terdiri daripada latte ais, coppucino ais, dan susu berperisa ais. - NURSYAMIMI SAIDI