Koleksi lebaran kali ini menampilkan 60 pilihan hijab dengan kombinasi warna, material dan cetakan yang lebih unik serta elegan.

Menariknya, 10 koleksi hijab merangkumi selendang, tudung segera dan bawal turut ditampilkan bersempena kolaborasi dua drama arahan Michael Ang iaitu Hati Seorang Perempuan dan Pengantin Salju.

Pada pelancaran hari ini, jenama itu turut mempamerkan 30 koleksi Ariani Luxe iaitu koleksi hijab premium yang mendapat sentuhan artisan mahir dengan penggunaan perincian renda dan batuan Swarovski eksklusif terdiri daripada rekaan selendang, turban dan inner.

Melengkapkan pelancaran itu, 30 daripada 70 rekaan terbaharu koleksi Glam Lebaran by Ariani RTW merangkumi kurung moden polos, kurung bercorak moden dan jubah bernuansa pastel dan terang mengisi pentas pertunjukan fesyen berkenaan.

Pada tahun ini Ariani turut menampilkan koleksi The Premium Series By Ariani RTW buat penggemar rekan mewah yang dihasilkan dalam kuantiti terhad.

Menurut Pengarah Pemasaran Ariani Textiles Manufacturing Sdn. Bhd., Datin Farah Haryani Muhammad Philip, kesemua koleksi berkenaan boleh didapati bermula esok serentak dengan promosi Jualan Murah Pra-Ramadan di semua cawangan galeri Ariani seluruh negara.

Koleksi raya tahun ini menampil rekaan yang sangat selesa serta harga mampu milik," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE