Ia merupakan hasil kerja tangan pertama kali pereka terkenal, Nurita Harith, dengan kerjasama jenama tisu baharu, Vinda Deluxe bagi meraikan hari bahagia pasangan mempelai Anthony Wong dan Shervyn Chua.

Gaun dengan potongan gabungan moden dan tradisional itu dihasilkan dalam tempoh tiga minggu menggunakan material tisu sepanjang 15 hingga 20 meter selain penggunaan fabrik net serta renda rona putih mutiara.

Menurut Nurita, hampir 75 peratus material gaun berkenaan menggunakan tisu asli dan selebihnya campuran fabrik bagi bahagian dalam untuk memberikan siluet yang menepati.

“Antara cabaran utama untuk menyiapkan gaun ini adalah ketika menjahit kerana perlu berhati-hati bimbang terkoyak, namun jenis tisu ini sangat kukuh dan sangat lembut untuk kulit membolehkan saya bereksperimen dalam potongan berlapis,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE