Mereka yang sukakan cabaran dan penga­laman baharu sudah tentu memilih ATV untuk menguji ketahanan mental dan fizikal terutama ketika melalui trek yang mencabar.

Selain beriadah, ak­ti­viti itu membantu me­ning­­katkan keyakinan diri malah kepuasan se­benar dirasai apabila berjaya mengawal dan menunggang kenderaan beroda empat itu dengan cekap.

Kewujudan ATV Park di daerah ini merupakan satu lagi tarikan baharu sekali gus bukan sahaja memenuhi keperluan rekreasi masyarakat setempat malah mampu menjana sosio ekonomi me­reka.

ATV Park berkenaan yang mula beroperasi pada Jun 2013 kini semakin mendapat sambutan. Apatah lagi kedudukannya di tepi laluan utama Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit berdepan pintu ma­suk ke Felda Air Tawar 2.

Lokasi tersebut sememang­nya mudah untuk dicari atau dikunjungi. ATV Park berkenaan menyediakan 20 kenderaan yang menjanjikan kepuasan bagi pe­nggemar sukan ekstrem.

Pengurus ATV Park tersebut, Ithnin Buang, 41, berkata, terdapat lebih enam laluan berbeza bermula dari 1.5 kilometer hingga 25 kilometer yang ditawarkan kepada peminat sukan ini.

“Terpulang kepada mereka untuk memilih cabaran ter­sendiri termasuk seperti pengalaman meredah laluan berliku dalam hutan serta berseronok dengan alam semula jadi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ithnin berkata, ATV Park tersebut bermula dengan tiga buah ATV yang dibeli secara berkongsi dengan rakan-rakannya untuk menawarkan pengalaman mela­kukan aktiviti lasak tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid turut berbangga atas kejayaan penubuhan ATV Park yang terhasil daripada idea kreatif dan juga ino­vatif kumpulan golongan muda tersebut.

“Saya percaya trek ATV yang satu-satunya terdapat dalam kawasan Parlimen Kota Tinggi ini dapat memberi pendedahan amat berguna bukan sahaja kepada warga tempatan, malah menjadi pusat tumpuan pengunjung luar dan pelancong asing.

“Inilah yang kita mahukan, pemikiran kreatif golongan muda tidak hanya disimpan sebaliknya diterjemahkan agar dapat menghasilkan kejayaan,” katanya semasa menyertai Program Yok!! ATV Endurance Parlimen Kota Tinggi 2017 bersama ketua-ketua jabatan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Shamsuddzukha Hashim; Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, Shamsul Bahri Md. Dali; Pegawai Rela Daerah, Jasma Khamis dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd. Sarul Nizam Khirudin.