Direka eksklusif sempena sambutan hari raya yang bakal tiba, Cakenis Moth Cake dikeluarkan selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada koleksi edisi terhad pertama Cakenis, The Lily Cake beberapa bulan yang lalu.

Pengasas Cakenis, Hanis Zalikha berkata, setelah dua tahun membina jenama atas sokongan dan kepercayaan daripada pelanggan, pihaknya akan mengeluarkan dengan lebih banyak rekaan tudung bercetak untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan setianya.

“Kali ini, saya mengambil inspirasi daripada bunga orkid Moth yang sering digunakan dalam dekorasi hiasan dalaman rumah yang mana kecantikan bunga ini ‘diluahkan’ pada helaian tudung yang dilakar sendiri.

“Saya gabungkan dengan tema ‘home and living’ kerana saya sendiri mencintai dunia dekorasi, jadi saya menggunakan warna-warna terang dan pastel untuk rekaan Cakenis Moth Cake bagi menggambarkan sesuatu ruang kediaman,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Cakenis Moth Cake di sini, hari ini.

Menurutnya, koleksi tersebut menggunakan material satin premium yang selesa untuk digayakan dalam apa jua gaya pemakaian tudung, konsep yang dipilih pastinya memenuhi cita rasa elegan wanita moden yang mengimpikan tudung gaya eksklusif untuk digayakan pada lebaran nanti.

Enam pilihan warna ditawarkan untuk rekaan selendang dan tudung empat segi iaitu navy, hijau, merah jambu, khaki, hijau pudina, dan kuning yang dijual pada harga RM180 yang turut disertakan bersama kotak eksklusif.

Boleh dibeli di semua butik FashionValet dan laman web FashionValet, koleksi ini juga boleh dibeli melalui stokis Cakenis yang telah disenaraikan di Instagram, Cakenis. - UTUSAN ONLINE