Restoran yang diusahakan oleh tiga orang adik beradik ini walaupun berkonsep keluarga tetapi amat sesuai dikunjungi oleh semua golongan masyarakat yang inginkan kepelbagaian dalam menu makanan.

Salah seorang pemilik Restoran Selera Bonda, Syed Idham berkata, restoran yang dibuka sejak tahun 2010 bermula hanya dengan food court di Taman Putra Sulaiman, Ampang sebelum berpindah ke lokasi sekarang.

“Di sini pelanggan boleh memilih antara 250 menu makanan dan minuman. Menu paling diminati di sini adalah Tomyam Meletop yang pedas dan berempah memberikan rasa yang berlainan dan unik.

“Pelanggan yang gemar makanan pedas memang tidak akan melepaskan peluang merasai Tomyam Meletop tetapi kami memberi amaran jika mereka tidak tidak tahan pedas boleh memesan tomyam putih yang kurang pedas dan sesuai untuk kanak-kanak,” katanya semasa ditemui di restorannya di Ampang, Selangor baru-baru ini

Walaupun memang pedas berapi, Tomyam Meletop tetap mempunyai peminat setia kerana Retoran Selera Bonda menerima pesanan beratus-ratus mangkuk Tomyam Meletop setiap hari mungkin kerana keunikan rasanya.

Tomyam Meletop tidak boleh diubah rasanya menjadi kurang pedas kerana akan mengubah keunikan rasanya.

Selain Tomyam Meletop, pengunjung juga boleh memesan asam pedas, sup gear box, Penang char kuew tiaw, nasi kak wok, ayam penyet dan mi bandung Muar yang telah disesuaikan dengan selera orang Kuala Lumpur.

“Biasanya kami akan merasai dulu menu baru sebelum meminta pendapat pelanggan untuk tujuan penambahbaikan. Setiap kali kami memperkenalkan menu baru, kami berusaha mendapatkan penerimaan pelanggan dalam tempoh tiga bulan.

"Dalam masa akan datang kami sedang memperkenalkan menu baru iaitu ikan patin tempoyak yang dibawa khas dari Pahang,” katanya yang sentiasa memastikan pelanggan mendapat layanan terbaik dan cepat dengan hanya lima hingga 10 minit masa menunggu.

Harga makanan di Restoran Selera Bonda boleh dikatakan sederhana dan berbaloi bermula dengan RM5 ke atas dan memikat selera bukan saja penduduk di sekitar Ampang tetapi juga Shah Alam, Bangi serta sekitar Selangor.

Restoran yang boleh menempatkan sehingga 150 pelanggan ini dibuka jam 12 tengahari sehingga 12 malam setiap hari kecuali ditutup sehari sebulan untuk kerja-kerja pembersihan.

Disebabkan sambutan yang menggalakkan, Syed Idham mengambil alih selang sebuah kedai lagi sebagai ruang acara bagi memudahkan pelanggan menempah ruang untuk pelbagai acara seperti hari jadi, hi-tea, bertunang atau sebarang majlis yang siap dengan bilik permainan untuk kanak-kanak. 
 “Tetapi ada permintaan pelanggan yang mahukan kami membuka ruang acara kepada restoran yang boleh menempatkan sehingga 180 orang terutama pelanggan berkeluarga kerana terdapat bilik permainan kanak-kanak.

“Bermula bulan Oktober, kami akan membuka ruang acara untuk restoran dan selain untuk tempahan acara. Kami boleh menyediakan pentas, badut untuk majlis hari jadi kanak-kanak, kek atau apa saja yang diperlukan oleh pelanggan,” katanya yang turut mempunyai syarikat pengurusan acara.