Iklan itu menitikberatkan ke­pentingan toleransi, nilai perpa­duan, hormat menghormati serta kesabaran sesama ahli keluarga.

Video iklan berdurasi 60 saat mengisahkan seorang remaja lelaki membantu neneknya dalam membuat persiapan Aidilfitri dan menyambut ketibaan saudara mara yang pulang ke kampung.

Namun, dalam kesibukan dan keriuhan ahli keluarga yang besar di bawah satu bumbung, mereka masih berkongsi kegembiraan saling hormat-menghormati antara satu sama lain, kesabaran dan kerjasama sesama ahli keluarga.

Sehingga pukul 9 malam ini, video itu telah mencatat lebih 45,000 tontonan.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman berkata, seperti iklan pe­rayaan TNB sebelum ini, antara mesej disampaikan melalui plot iklan kali ini bukan saja khusus untuk umat Islam yang menyambut Aidilfitri namun ditujukan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Setiap rakyat Malaysia biasa melihat pelbagai keadaan ketika mahu pulang ke kampung terutama semasa Aidilfitri, maka iklan ini diharap meneruskan tradisi warisan ibu bapa kita yang mengamalkan amalan berkongsi kegembiraan di kampung halaman.

“Iklan ini menonjolkan sifat kekeluargaan dalam sebuah rumah yang jelas menunjukkan sikap bertolak ansur dalam masyarakat sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan iklan raya TNB di sini, hari ini.

Iklan tersebut akan disiarkan di beberapa rangkaian televi­syen bermula 11 hingga 22 Jun ini manakala, iklan penuh boleh ditonton di youtube.com/TENAGAofficial #RayaEpikFantastik mulai hari ini.

Dalam pada itu, 37 orang terlibat dalam penyediaan iklan tersebut yang dijalankan selama tiga hari di Kampung Indah, Banting, Selangor.

Tahun lalu, iklan TNB bertajuk Dugaan Raya Aida sempena Aidilfitri menduduki tempat pertama dalam senarai 10 iklan paling popular di YouTube Malaysia setakat separuh pertama tahun 2017.

Iklan berdurasi empat minit satu saat itu yang padat dengan mesej kekeluargaan dan persahabatan mencatatkan hampir dua juta tontonan dengan lebih 5,000 Like di YouTube.

Video itu memaparkan kisah gadis kampung bernama Aida yang mencari rezeki di Kuala Lumpur, membuat persiapan hari raya dalam kesibukan menyiapkan tugasan di pejabat.