Pengasas Follow The Beat (FTB), Suffian Sulaiman berkata, melalui program Just Follow n Slim yang diperkenalkannya itu ada peserta yang berjaya menurunkan 7.3 kilogram (kg) dalam masa sebulan.

Beliau berkata, program yang julung kali diadakan itu menggabungkan 12 sesi senamrobik (koreografi zafina - Zapin, Hi-Lo, aero dance dan boxercise), 12 sesi latihan kurus spesifik, empat sesi pemakanan dan 12 sesi perkongsian tips dan strategi kurus yang dilatih pada setiap Isnin, Rabu dan Khamis jam 8.30 malam hingga 10.30 malam.

“Program ini di­pimpin sendiri oleh saya dengan dibantu oleh tiga instruktor profesional dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga penulis buku Best Seller berjudul 30 kg Dalam 80 Hari dan penulis buku Modul 10 kg 10 minggu Kementerian Kesihatan percaya hanya ilmu mampu mengatasi obesiti.

“Kita tahu stres antara pe­nyumbang obesiti dan lazimnya bila tertekan orang akan makan dengan lahap, sebab itu saya menggabungkan elemen muzik dalam FTB,” ujarnya.

Tambahnya, secara fisiologi stres boleh melambatkan usa­ha menurunkan berat badan terutama di bahagian abdomen kerana kehadiran hormon cortisol yang tinggi. Tidak dapat menikmati senaman, terpaksa dan terbeban juga adalah mekanisme stres.

Seorang pesertanya, Hayana Khairuddin muncul juara apabila turun 7.3 kilogram, kedua, Nadiah Mohd. Abdah (7.1 kg) dan ketiga Norzilawati Ramli (6 kg), masing-masing mereka menerima wang tunai RM700, RM300 dan RM150 beserta pingat eks­klusif Follow The Beat.

Suffian berkata, se­tiap kali sesi perkongsian tips dan strategi kurus beliau menerangkan secara terperinci selok-belok serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan melalui aplikasi Whatsapp dengan memantau gaya hidup mereka.

FTB menganjurkan empat siri setahun iaitu FTB Beginner 1 (adaptasi fizikal), FTB Beginner 2 (fokus bahagian atas badan dan lengan), FTB Beginner 3 (fokus bahagian bawah badan termasuk kaki) dan FTB Advance (fokus bahagian abdomen). Kesemua­nya didatangi lengkap dengan modul yang spesifik.

Suffian sedang giat mempromosikan FTB #B2 dan #B1 di Put­rajaya dan Kuala Lumpur (Kampung Pandan) yang dijadualkan pada 1 November depan meng­alu-alukan penyertaan lebih ramai masyarakat agar bersenam dengan ilmu.

Sebarang maklumat mengenai FTB bolehlah menghubungi beliau ditalian 019-2401729 atau melayari www.sportfitnhealth.blogspot.com dan Facebook gemuk2kurus.