Penulis dan rakan-rakan memilih pakej melancong menerusi ejen percutian ke USS dengan bayaran RM365 seorang. Jumlah itu termasuk tiket untuk memasuki USS, sewaan bas pergi dan balik serta insurans.

Malah lebih menarik, ejen percutian itu turut memberi baucar diskaun sebanyak 5 dolar Singapura (RM15) setiap satu bagi pembelian makanan dan cenderamata di dalam USS.

Perjalanan dari Bangi, Selangor menuju ke sempadan Johor sekitar lima jam. Penulis dan rakan-rakan berehat di kawasan rehat Gelang Patah untuk mandi dan menikmati sarapan sebelum meneruskan perjalanan.

Memandangkan cuti persekolahan sudah bermula sejak November lalu, pastinya orang ramai akan ke destinasi menarik di seberang Tambak Johor itu. Justeru, pengunjung perlu sampai awal bagi mengelak kesesakan di laluan kastam dan imigresen untuk memasuki Singapura.

Bagi melicinkan perjalanan serta mengelakkan perkara yang tidak diingini, pengunjung perlu memastikan tidak membawa barangan yang dilarang seperti gula-gula getah, walkie-talkie dan rokok yang berlebihan.

Sekiranya perkara itu berlaku, pelbagai proses terpaksa dilalui dan akan melambatkan perjalanan memasuki USS memandangkan kota keriangan itu mula dibuka sejak pukul 10 pagi.

Memasuki USS seperti berada di alam fantasi kerana terdapat pelbagai karakter serta lokasi menarik untuk dilawati.

USS terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya Hollywood, Madagascar serta Far Far Away, iaitu kesemuanya diadaptasi daripada filem serta kartun animasi.

Penulis tidak melepaskan peluang mengambil gambar serta video dengan karakter animasi yang comel serta menarik. Sekiranya datang berdua, anda tidak perlu risau memandangkan terdapat jurugambar profesional berada di situ sekiranya diperlukan.

Permainan roller-coster adalah perkara yang dinantikan penulis dan rakan-rakan biarpun terpaksa beratur panjang untuk menaiki permainan itu.

Bagi mengelakkan barang atau peralatan penulis tercicir ketika menaiki permainan itu, USS menyediakan peti keselamatan percuma untuk 100 minit pertama. Jadi, pengunjung tidak perlu risau.

Sementara itu, terdapat juga pertunjukan secara langsung seperti di bahagian Water World yang mempamerkan pelbagai aksi bertemakan air. Bagaimanapun, pengunjung perlu menontonnya pada waktu ditetapkan. Sekiranya terlepas, pengunjung boleh datang lagi ke bahagian itu selepas dua jam.

Permainan di USS tidak tertumpu kepada kanak-kanak sahaja. Terdapat juga permainan untuk dewasa. Bagi mereka yang inginkan cabaran, The Mummy dan Ride The Movies Transformes boleh dicuba.

Selain itu, pengunjung tidak perlu risau mencari makanan halal kerana kedai makan yang menyajikan makanan halal ada disediakan di dalam kawasan itu. Logo halal akan dipamerkan di hadapan kedai bagi memastikan keselesaan pengunjung Muslim.

Dalam pada itu, pengunjung tidak digalakkan memakai kasut tumit tinggi memandangkan terpaksa berjalan jauh dari satu bahagian ke bahagian lain. Sekiranya ingin berjimat membeli air minuman, pengunjung boleh mengisinya dengan botol kosong di setiap bahagian permainan kerana tempat itu menyediakan mesin penapis air.

Mengunjungi USS dalam tempoh sehari tentulah tidak puas, namun disebabkan kekangan masa penulis dan rakan-rakan terpaksa meninggalkan kota keriangan itu.

Sekiranya ada masa terluang lagi, penulis mahu berkunjung lagi ke USS kerana terdapat pelbagai permainan menarik di situ yang tidak sempat dicuba.