Terletak di Jalan Camar 1/ 1, Taman Perling di sini, The Theory Engineers Cafe yang beroperasi sejak April lalu dilengkapi 11 unit televisyen dipasang di setiap sudut dengan tujuan memberi keselesaan para pe­langgan.

Hairul Ariffin, 41, anak jati Ayer Baloi, Pontian berkata, kemunculan kafe itu diharap menjadi ikon di negeri selatan tanah air yang memberikan perbezaan dengan pelbagai juadah Barat dan Asia yang boleh jadi pilihan pelanggan.

“Saya memilih makanan barat dan Asia ini supaya menjadi pilihan para pelanggan terutama yang membawa bersama anak-anak muda serta warga emas. Maknanya kafe kami fokus kepada pelanggan berkeluarga.

“Saya nak bila mereka datang ke sini anak-anak muda dapat menikmati makanan Barat yang menjadi kegemaran mereka dan pada waktu yang sama kita tidak menghampakan warga emas dengan pelbagai pilihan juadah Asia,” katanya ketika ditemui di kafe tersebut semalam.

Hairul Ariffin lulusan Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pemilik Muda Consult Sdn. Bhd., berkata, menu-menu di kafe itu dicipta dan disesuaikan dengan cita rasa masyarakat negara ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata, bagi memastikan kafe tersebut terus berdaya saing pihaknya menjaga kualiti de­ngan memastikan semua bara­ngan asas dan basah dibeli dari jenis premium.

Menurutnya, walaupun kualiti makanan dihidangkan setanding dengan hotel-hotel terkemuka, kami masih menjual pada kadar harga berpatutan dan mampu dinikmati para pelanggan.

Tambah Hairul Ariffin, kafe itu kini mampu menampung 50 pelanggan dalam satu-satu masa dan turut menekankan keceriaan dengan hiasan dalaman berkonsepkan progresif di samping diserikan dengan pentas untuk para pelanggan berkaraoke.

“Di kafe ini kami turut menerima para pelanggan yang ingin mengadakan majlis-majlis keramaian termasuk sambutan hari jadi, majlis perpisahan dan sebagainya.

“Berikutan sambutan yang menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu malah Cina dan India, kami berhasrat untuk membesarkan ruang niaga ini bagi menampung lebih ramai pelanggan,” katanya.

Jelas Hairul Ariffin, bagi mengendalikan kafe yang beroperasi mulai 3 petang hingga 12 malam itu pihaknya mempunyai pengurusan tersendiri dengan Mohammed Fairus Selamat, 37, sebagai pengurus, selain seorang ketua chef, dua penolong chef dengan enam kakitangan sokongan.

Sementara itu, Fairus berkata, antara cabaran utama dalam industri pemakanan untuk bertahan ialah meningkatkan jualan dari masa ke semasa sedangkan pada waktu yang sama pihaknya menghadapi tekanan kenaikan harga barangan.

Selain itu, soal persaingan juga menjadi perhatian pihaknya kerana perkara tersebut juga menentukan daya tahan sesebuah perniagaan dengan mengamalkan persaingan secara sihat.