NUR ZAKIRA AFNEE ZAKARIA

Nurzakira Afnee Zakaria yang berasal dari Kuantan, Pahang tidak pernah menyangka dia akan berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap ijazah kedoktoran falsafah pada usia muda.

Katanya, selepas tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, dia ada terfikir untuk bekerja di dalam bidang pilihannya iaitu komunikasi, namun tidak kesampaian.

“Saya hanya sempat menjalani latihan industri dan bekerja dalam masa yang singkat. Kemudian saya sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Menurut Nurzakira Afnee, sebaik tamat pengajian, tanpa teragak-agak dia memutuskan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebenarnya saya lebih berminat berniaga. Saya pernah menjual tudung dengan jenama sendiri tetapi kekangan masa yang lebih banyak dihabiskan untuk pengajian, maka perniagaan bukan lagi keutamaan,” katanya yang gemar berfesyen, bersolek dan bersukan pada waktu lapang.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, pengajian di peringkat ijazah PhD bukan sesuatu yang mudah.

“Memang susah tetapi saya tidak mahu terkandas. Saya tidak akan jadikan kesusahan itu sebagai penghalang untuk terus maju,” katanya.