Taman Mini Air yang diba­ngunkan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan kos RM800,000 telah dibuka sejak setahun lalu.

Seorang pengunjung Zailani Abdul Rahman, 36, berkata, taman yang dibina itu memberi kemudahan rekreasi untuk penduduk.

Katanya, pusat rekreasi itu dibuka setiap hari dan boleh memuatkan kira-kira 200 pengunjung dalam satu masa.

“Kita berbangga apabila penduduk Gua Musang mempunyai satu lagi kemudahan rekreasi untuk bersantai dan melakukan aktiviti bermanfaat bersama keluarga.

“Bayaran tiket adalah serendah RM2, RM3 dan RM5 kepada kanak-kanak serta golongan dewasa,” katanya di sini hari ini.

Antara kemudahan yang disediakan di taman air berkenaan ialah bilik persalinan, rumah pam, kaunter tiket dan wakaf.

Seorang lagi pengunjung, Suraini Mohd. Isa, 44, berkata, kemudahan terbaharu yang disediakan oleh pihak Kesedar kali ini agak menarik kerana seluruh ahli keluarga dapat bersantai bersama-sama.

Katanya, mereka juga tidak perlu berfikir untuk mencari lokasi riadah ketika cuti hari ming­gu atau persekolahan.

“Setiap petang kami tidak sabar untuk membawa anak-anak bermain di taman air ini kerana kemudahan yang disediakan juga menarik.

“Taman ini dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang. Kami juga tidak perlu menyediakan perbelanjaan yang banyak untuk membawa keluarga bersantai,” katanya.