Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, sejak kecil dia telah didedahkan dengan seni dan produk tempatan negeri Cik Siti Wan Kembang itu, seperti wayang kulit, menora, songket, kain tenun dan sebagainya.

Ibu saudaranya sendiri adalah seorang penari mak yong manakala bapa saudaranya pembuat batik.

Justeru hasil seni dan produk tempatan sudah sebati dalam jiwa sejak kecil hingga meningkat ke usia sekarang.

Songket baginya terlalu indah, istimewa dan merupakan pakaian raja dan golongan istana sejak berabad lamanya.

Ditenun menggunakan benang sutera dan benang emas, Suryani tidak mahu keistimewaan hasil tangan itu tenggelam atas faktor kemodenan.

Melahirkan Senijari pada tahun 2012, Suryani mahu mengembalikan kraf tradisional melalui rekaan yang lebih moden dan diterima bukan sahaja oleh penggemar seni tempatan malah antarabangsa.

Jenama itu dimulakan bagi memuliakan artisan tanah air seperti penenun songket, penenun kain tenun, pembuat perak, tembaga dan tukang-tukang seni tempatan.

Walaupun memilih songket sebagai elemen utama, rekaan yang dihasilkan oleh Suryani bersifat moden dan kontemporari supaya apabila pemakainya berada di luar negara seperti New York, London, Paris mahupun di mana sahaja, tidak kekok dan berbangga menggayakannya.

Menurut bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Tuanku Nur Zahirah itu, lebih banyak rekaan dan inovasi dengan menggandingkan songket dan kulit daripada Itali dapat dihasilkan seperti beg genggam (clutch), tas tangan, dompet, sarung telefon bimbit dan pemegang kad.

“Dengan berkolaborasi bersama pereka Itali, Beatrice Fabi dan keluarganya yang menjalankan bengkel kulit di Rom, Itali, saya berbangga kerana bakal menghasilkan koleksi beg tangan berjenama eksklusif yang menggabungkan seni tenun tradisional Melayu dan kerja tangan kulit Itali.

“Koleksi pertama menggunakan songket Sarawak bagi clutch Siput Sarawak dan beg Sarimah yang hampir keseluruhannya dibuat daripada songket. Kedua ialah clutch sampul Saloma dan beg bertali, beg Reya, beg Senja, beg Ketupat dan beg Aini dan Kalsom,” ujar ibu kepada seorang anak perempuan, Reya Sofia Ahmad Zakii, enam tahun.

Sebagai Pengarah Kreatif Senijari, Suryani turut menghasilkan koleksi aksesori yang direka menggunakan batu-batu permata dan songket.

Idea diperoleh daripada buku-buku yang dibaca, galeri, muzium dan barang-barang lama tradisional yang diolah semula menjadi moden.

Koleksi kreatif Senijari dijual pada harga di antara RM250 (beg duit syiling, gelang songket) hingga RM10,000 (selendang organza sutera, samping dan sarung).

Selain di Butik Kavita, boleh juga disaksikan di Facebook, Senijari. Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH