Ketika kebanyakan orang berasa seram dengan dunia mistik, Suraya aktif 'memburu hantu' di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bersama kumpulan Paranormal X-Team Perlis.

Dia yang mesra dengan panggilan Su berkata, aktiviti itu telah dilakukannya sejak tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, Suraya telah mengalami pelbagai pengalaman seram ketika mengikuti aktiviti berkenaan.

Sudah tentu kata Suraya, hanya mereka yang benar-benar berani mampu melakukan aktiviti itu, yang bukan sahaja mencabar fizikal, bahkan mental.

“Aktiviti ini merungkai misteri yang berlaku di rumah lama, rumah tinggal, vila serta banglo yang sudah berpuluh tahun tidak berpenghuni,” katanya kepada S2.

Untuk berurusan dengan ‘dunia lain’, Suraya dan rakan-rakannya menggunakan gajet seperti kamera infra merah dan kamera video untuk merungkai misteri di lokasi terbabit.

Anak kelahiran Arau itu, berkata, meskipun beberapa kali ‘diganggu’ ketika berada di lokasi, dia terus bertahan sehingga akhir aktiviti.

“Pernah sekali, ketika berada di sebuah rumah tinggal di Kuala Perlis, saya terdengar bunyi orang sedang mandi, sedangkan tiada sesiapa di dalam bilik air di rumah itu. Saya juga terasa ada orang menarik rambut saya.

“Pada masa itu, perasaan saya bercampur-baur, namun dengan semangat dan kekuatan diri yang tinggi, saya berjaya menghabiskan tempoh sejam melakukan aktiviti paranormal di rumah tersebut,” katanya.

Tambah Suraya, selain bersama kumpulan paranormal, dia juga gemar meluangkan masa menyertai pelbagai aktiviti lasak lain seperti mendaki gunung dan berkunjung ke gimnasium untuk mengekalkan kecergasan diri.