“Sekarang ini, ramai yang menjadi jurusolek dan mempromosi hasil kerja mereka dengan memuat naik video secara langsung di laman sosial Facebook dan Instagram. Boleh dikatakan, ia seolah-olah menjadi satu trend.

“Dari situ, saya menonton video serta belajar mengenai kemahiran solekan. Kebetulan pada awal tahun ini, ada seorang jurusolek yang membuka kelas solekan dengan mengenakan bayaran murah di Ipoh, Perak.

“Saya mengikutinya dan kemudian mempraktikkan teknik solekan itu pada adik-beradik serta kawan-kawan sebelum memuat naik hasilnya di Instagram,” katanya kepada S2.

Bagaikan tidak percaya, Nordiana mengakui, hasil tangan permulaannya itu menerima maklum balas positif daripada ramai kenalan. Malahan, terdapat pengguna laman sosial yang mula bertanya untuk mendapatkan khidmat solekannya.

“Ada yang bertanya dari segi harga, sama ada saya boleh melakukan solekan untuk menghadiri majlis makan malam, konvokesyen dan pertunangan,” katanya.

Nordiana berkata, ketika ini, dia mengusahakan perniagaan solekan secara sendirian, namun bercadang untuk melakukan usaha sama bersama rakannya yang memiliki sebuah butik pengantin pada masa akan datang.

Katanya, jenis solekan yang ditawarkan bersesuaian dengan majlis yang dihadiri termasuk fotografi, pertunangan dan persandingan.

Namun menurut Nordiana, sekiranya pelanggan memerlukan dia hadir ke kediaman mereka, sedikit bayaran pengangkutan akan dikenakan.

“Kebanyakan pelanggan gemar untuk kelihatan seperti barbie doll, selain mengenakan nude makeup pada masa kini.

“Oleh itu, sebelum memulakan sebarang solekan, saya akan bertanya, apakah yang benar-benar diinginkan pelanggan. Ini kerana ada sesetengah pelanggan hanya menyukai solekan yang lembut sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Nordiana berkata, pada kebiasaannya, beliau akan menggunakan ring light sebagai alat bantuan pencahayaan ketika menyolek pelanggannya.

Namun katanya, pada masa sama, cahaya matahari yang bertindak sebagai pencahayaan semula jadi turut menjadi pilihannya.

“Oleh sebab itu, saya akan memberitahu pelanggan, kalau boleh, bilik yang akan digunakan untuk solekan berdekatan dengan tingkap dan tidak perlu ramai orang berada di dalamnya.

“Antara jenama alat solek yang saya gunakan ialah NARS Cosmetics, Rose Tyra, Mac dan Urban Decay,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana gadis mahupun wanita yang ingin mendapatkan sentuhan jari jemarinya, boleh menghubungi beliau melalui aplikasi WhatsApp di talian 018-5767231.

Bagi yang berminat melihat lebih banyak hasil kerjanya, boleh melayari Instagram makeupipoh.bydiana

“Biarpun sudah banyak individu menceburkan diri dalam perniagaan sebagai jurusolek, saya percaya pada rezeki masing-masing.

“Tidak salah bersaing secara sihat kerana setiap pelanggan mempunyai cita rasa tersendiri dan tidak sama sekali mengehadkan kepada sesuatu kelompok umur,” katanya.