Selain menggunakan kain diimport dari Perancis dan Itali yang berkualiti tinggi, perbezaan songkok tinggi ialah potongan bahagian atasnya sama rata tidak berbukit seperti di pasaran.

Walaupun dijual dengan harga mencecah RM130 setiap satu, permintaan terhadap produk terbabit begitu menggalakan termasuk dari luar negeri ini.

Seorang pembuat songkok tinggi, Mohd. Nasrum Hassan, 46, berkata, tempahan paling banyak diterimanya adalah daripada golongan muda khususnya untuk digayakan pada sambutan Aidilfitri.

Dia yang menjalankan perniagaan di Bazar Muhibah, bandar Pekan di sini berkata, songkok tinggi yang berukuran 10.16 sentimeter tinggi mula diperkenalkan oleh Tengku Abdullah dan rata-rata pelanggan datang mahukan reka bentuk sama seperti baginda.

“Ramadan lalu saya banyak menerima tempahan membuat songkok tinggi fesyen Tengku Abdullah yang kini semakin terke­nal terutama dalam kala­ngan masyarakat Pekan yang tidak asing dengan istana.

“Saya mendapat tempahan lebih 800 songkok pada kali ini membabitkan pelbagai jenis songkok berharga antara RM20 hingga RM100 dan harga bagi songkok tinggi ialah antara RM85 hingga RM130,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Nasrum yang menjalankan perniagaan sejak lebih 25 tahun lalu berkata, setiap kali Ramadan, tempahan songkok bertambah dua hingga empat kali ganda berbanding bulan lain dan bagi memenuhi permintaan dia terpaksa melakukan kerja sepanjang minggu.

“Saya mengambil masa antara 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan sebiji songkok bergantung kepada saiz dan rekaan selain jenis kain yang digunakan. Jahitan sulaman bahagian dalam songkok antara yang perlu diberikan perhatian,” ujarnya.

Mohd. Nasrum yang mewarisi kemahiran arwah bapanya, Hassan Jantak berkata, minat mendalam untuk menghasilkan kehalusan jahitan merupakan kelebihan dimiliki­nya sejak kecil.

“Saya berbangga menjadi pembuat songkok kerana dapat mempertahankan budaya masyarakat Melayu nusantara. Hari ini generasi muda sudah tidak lagi berminat belajar membuat songkok yang suatu ketika dahulu dimonopoli oleh masyarakat etnik Kampar dari Indonesia.

“Saya bersyukur dengan sedikit kemahiran yang ada memberi peluang menghasilkan songkok untuk kegunaan masyarakat Melayu di daerah ini termasuk dari luar Pahang,” katanya yang berasal dari Kampung Ketapang Hilir di sini.