Empat dekad ‘berjiwa’ dengan kanvas seni, Yusof telah banyak diberi peluang dan ruang untuk mempamerkan hasil lukisannya ke serata pelosok dunia.

Pada 3 hingga 7 April, lukisannya yang berjudul Segerak V: Transcendent Figures bakal dipamerkan kepada umum di Galeri Asia House, London selama lima hari.

“Ini merupakan kali pertama saya membuat pameran di kota London dan satu penghormatan buat saya apabila dipelawa untuk mempamerkan hasil lukisan di sana. Siri Segerak ini merupakan hasil karya saya sejak 2003 dan untuk tahun ini sudah memasuki siri keenam. Alhamdulillah selama setahun saya menyiapkan sebanyak 35 buah lukisan bertemakan Segerak: Transcendent Figures.

“Selepas dikira-kira dan melihat lokasi pameran, saya hanya akan membawa 15 buah lukisan yang terbaik sahaja di sana,” katanya ketika di temui Mega Budaya di Galeri Tapak, Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, Yusof turut berkongsi mengenai makna di sebalik tema Segerak pada kali ini.

“Segerak siri enam ini lebih kepada mahu tonjolkan satu peringkat manusia yang kita punya informasi, gerakan serentak sama global dan universal.

“Transcendent Figures ini nak tunjukkan manusia pada satu peringkat dan taraf informasi bergerak serentak.

“Bergerak secara global daripada konteks politik dan ekonomi termasuklah isu dunia sekarang ini yang rata-ratanya sama sahaja. Jadi lukisan Segerak itu sebagai metafora yang nak disampaikan kepada semua,” ceritanya.

Menariknya tentang pameran itu nanti akan dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia di London, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi pada hari kedua acara itu berlangsung.

“Saya gembira apabila Duta Besar kita berbesar hati merasmikan pameran saya itu nanti.

“Selain itu, pada hari ketiga saya akan mengadakan demonstrasi melukis secara langsung di galeri sama.

“Pada keesokan harinya pula, satu bual bicara tentang seni akan dianjurkan dengan panel lain khusus buat pengunjung serta pelajar kesenian.

“Diskusi itu nanti diharap dapat menambah ilmu dan idea buat semua pencinta seni lukis untuk lebih bersemangat menghasilkan karya,” jelasnya lagi.

Anak-anak ikut serta 

PASTINYA pameran di London kali ini lebih manis dan meninggalkan kenangan indah buat Yusof kerana ditemani anak-anaknya selain turut mempamerkan hasil kerja mereka.

Bagi anak lelaki Yusof, Muhammad Zaki Yusof, 32, dengan isterinya, Farrah Aina Sofian Sauri, 32, mereka bakal menjadikan London sebagai destinasi pertama untuk memperkenal busana rekaan dengan jenama Sofearose.

Dengan konsep Art To Wear, Sofearose bukanlah tipikal busana yang dijual di butik tempatan tetapi menjadikan hasil lukisan si ayah pada fabrik rekaan menjadikannya agak ‘mahal’.

Selaku Pengarah Urusan, kata Zaki, dia memilih London sebagai pentas peragaan pertama sebelum melangkah ke negara lain dan ini merupakan suatu rezeki yang tak mungkin ditolak.

“London merupakan kota fesyen yang sangat meluas. Saya dan isteri memilih untuk jadikan negara sebagai lokasi pertama memperkenal hasil rekaan kami kerana mahu terokai lebih banyak lagi dunia fesyen.

“Kami akan bawa 12 persalinan ke gala seni itu nanti dengan 10 daripada lukisan ayah iaitu Ombak akan diaplikasikan di fabrik.

“Sementara dua lagi lukisan iaitu Wajah dan Tari juga akan kami sadurkan pada kain fabrik satin yang dipilih,” katanya.

Sofearose X Yusof Ghani itu akan dipamerkan pada hari kedua pameran itu berlangsung.

“Sewaktu majlis pelancaran diadakan, kami akan memperagakan rekaan ini kepada semua pengunjung yang hadir.

“Bagi menjadikan baju ini tampak eksklusif kami hanya menghasilkan satu sahaja persalinan kepada mereka yang berminat.

“Mereka yang ingin membeli hanya perlu datang kepada untuk membuat ukuran. Kami sangat menjaga kualiti dan imej Sofearose agar selesa dipakai oleh si pemakai,” katanya.

Ujar Zaki lagi, dia sengaja memilih lukisan Yusof serbagai bahan cetusan idea buat pereka fesyen untuk lebih mempelbagaikan kreativiti.

“Saya rasa sudah tiba masanya kita menyuntik elemen lukisan tempatan yang patut diketengahkan terutama dalam elemen fesyen muslimah.

“Kami amat mengagumi karya seninya yang asli. Seiring nama juga memberi aura dan momentum yang agresif kepada Sofearose untuk mencuba kolaborasi yang dianggap baru dalam industri,” tuturnya.

Dalam pada itu, Nur Atiqah Yusof yang merupakan seorang jurugambar profesional turut akan bersama-sama Zaki dan Yusof di London.

Atiqah,30, yang mempunyai pengalaman selama sembilan tahun dalam dunia fotografi bukanlah pertama kali mengikut Yusof ke luar negara.

“Ini merupakan pameran ketujuh saya di luar negara dengan ayah. Saya bertanggungjawab mengabadikan foto-foto di belakang tabir ayah menyiapkan lukisannya.

“Mungkin pengunjung ada terfikir bagaimana agaknya seorang pelukis bekerja di ruangan kerjanya.

“Jadi saya menggunakan kamera dan membidik foto-foto potret ayah dan dipamerkan kepada umum,” kongsinya.

Selain mahu menunjukkan dua perspektif berbeza, kata Atiqah, dia mahu berkongsi foto itu kepada pengunjung selain dapat memberi gambaran sebenar.

“Saya akan bawa 15 hingga 20 keping gambar ke sana. Tujuan untuk potret ini diambil ialah kerana mahu menunjukkan dua perspektif berbeza dunia pelukis sebenar,” katanya.