Aktiviti yang sudah menjadi acara tahunan sejak 1999 mendapat pengiktirafan Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka. Program Raptor Watch juga sudah pun ada dalam kalendar pelancongan negeri Melaka dan terkenal dalam kalangan peminat burung pemangsa serta menjadi destinasi pelancong antarabangsa seperti Jepun, Korea, China, Singapura dan lain-lain.

MNS terus mengadakan aktiviti Raptor Watch setiap tahun bagi memastikan kawasan Tanjung Tuan dipulihara. Tanjung Tuan merupakan satu-satunya hutan pantai di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan, Rezab Hidupan Liar, kawasan yang dilarang memancing dan tapak sejarah.

Pada bulan Februari dan Mac setiap tahun, berpuluh-puluh ribu burung pemangsa akan terbang pulang ke Hemisfera Utara dan datang lagi pada hujung tahun apabila musim sejuk di tempat pembiakan mereka.

Bagi meneruskan kemandirian. burung pemangsa ini mesti memberikan kerjasama memastikan laluan penghijrahan mereka dan kawasan pembiakan mereka selamat dan lestari.

Oleh kerana burung ini akan menjadikan Malaysia sebagai laluannya maka kita mestilah memperhebatkan penyelidikan, pendidikan dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penduduknya. Tempat-tempat penting yang perlu diberikan perhatian dalam laluan burung pemangsa berhijrah ini adalah Pulau Rupat, Indonesia, Tanjung Tuan dan Bukit Larut di Semenanjung serta di Segenting Kra, Thailand.

Kawasan tinggi 500 meter (m) Khao Dinsor di wilayah Pathiu Chumpon ini juga dikatakan kawasan terbaik di Asia untuk memerhati burung pemangsa berhijrah.

Memandangkan sepanjang penghijrahan mereka memerlukan makanan dan tempat berehat yang selamat maka habitat laluan mereka mestilah dijaga dilindungi dan dipulihara. Justeru itu Hutan Simpan Tanjung Tuan perlu terus dilindungi dan dipulihara sebagai tempat burung pemangsa singgah, berehat dan mendapatkan makanan sebagai bekalan tenaga untuk terbang jauh ke Korea, Jepun dan Siberia.

Tambahan lagi kawasan Hutan Simpan Tanjung Tuan ini telah diiktiraf sebagai kawasan penting burung-burung (IBA) oleh Birdlife International sebuah badan penting antarabangsa dalam hal pemuliharaan habitat dan hidupan liar. Kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perikanan, Bahagian Pelancongan, Jabatan Pendidikan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan amat diperlukan bagi kelangsungan populasi burung pemangsa berhijrah ini.

Malaysia sebagai sebuah negara megabiodiversiti dunia seharusnya mengambil tindakan yang terbaik mempromosikan pemuliharaan burung pemangsa.

Aktiviti yang dilakukan oleh pihak MNS ini mestilah disokong dalam pelbagai cara daripada semua pihak seperti kerajaan, swasta dan orang awam. Program Raptor Watch bukan sahaja untuk pendidikan dan penghayatan dalam kalangan pelajar, tetapi juga untuk kepentingan pelancongan. Banyak pihak akan mendapat faedah daripada aktiviti pemuliharaan yang dipopularkan oleh MNS ini.

Bagi pihak negara Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengambil inisiatif memberikan pendidikan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar sekolah sejak 20 dahulu.

Setiap tahun ramai pelajar sekolah, ahli MNS dan orang awam hadir di Tanjung Tuan bagi memerhati burung-burung pemangsa yang melintasi Selat Melaka dari Pulau Rupat, Sumatera ke Tanjung Tuan, Melaka sejauh 38 km. Media massa juga turut mempromosikan aktiviti ini setiap tahun. Tahun ini dijangka lebih 1,000 orang pelajar daripada lebih 20 sekolah di Melaka dan Negeri Sembilan akan hadir. Bagi pelajar yang telah mendaftar akan mengikuti pelbagai aktiviti seperti merentas hutan, membersih pantai, memerhati burung taman, mengira burung pemangsa dan banyak lagi aktiviti selain daripada pameran yang diadakan.

Semua aktiviti ini adalah bertujuan untuk mendidik, memberikan kesedaran dan penghayatan kepada generasi muda tentang pemuliharan hidupan liar amnya dan burung pemangsa khasnya. Mereka juga akan lebih memahami pentingnya kawasan Tanjung Tuan ini di lindungi di samping pemuliharaan burung pemangsa.

Setiap tahun sukarelawan dalam kalangan ahli MNS dan peminat burung mengira burung-burung pemangsa yang melintasi Selat Melaka. Menurut laporan Journal of Raptor Research 2014, pada tahun 2009 (selama 332 jam pemerhatian) sebanyak 37,615 burung pemangsa berhijrah daripada 11 spesies telah melintasi Selat Melaka di ruang udara Tanjung Tuan manakala 72,277 ekor dari 10 spesies pada tahun 2010 (selama 465 jam pemerhatian).

Penghijrahan burung pemangsa ke Hemisfera Selatan semasa musim sejuk di utara mengambil masa antara 60 hingga 70 hari. Penerbangan itu melalui kawasan sejauh 10,000 kilometer dari Siberia, Utara China, Jepun dan Korea ke Himalaya dan Malaysia.

Guna satelit pantau burung hijrah

Pada tahun 2012, pengkaji Jepun di bawah Projek Hachikuma Keio University telah menggunakan satelit bagi menentukan laluan hijrah yang tepat. Daripada empat sampel yang digunakan telah mendapati penerbangan Burung Helang Lebah (Pernis ptilorhyncus) memilih laluan berbeza yang berakhir di Timor Timur dan Sulawesi, Indonesia. Burung-burung yang lebih kurang sebulan baru keluar dari sarang telah mampu mengikuti jejak laluan burung dewasa sebelum ini.

Antara 4 hingga 19 Mac tahun lalu, sukarelawan MNS telah merekodkan 28,877 ekor burung pemangsa daripada lapan spesies melintasi Selat Melaka melalui ruang udara Tanjung Tuan.

Jumlah burung Helang Lebah boleh mencapai lebih 6000 ekor sehari melintasi Selat Melaka pada waktu puncak dan antara 2,000 hingga 3,000 pada hari-hari lain. Faktor cuaca sangat penting membantu pergerakan mereka melintasi laut. Banyak cabaran yang dihadapi oleh sukarelawan dalam mengira burung semasa melintasi ruang udara Tanjung Tuan seperti jerebu, mendung atau hujan.

Mengenal pasti dan mengira spesies burung yang sedang meluncur di udara memerlukan kemahiran yang tinggi dan pengalaman yang lama. Pada tahun 2015 hanya 48,662 burung pemangsa yang dapat dikira. Bilangan yang dilaporkan pada 2009 adalah 37,615, 2010 (72,277), 2015 (48,662) dan pada 2017 sebanyak 28,877 ekor yang menunjukkan bilangan yang tidak sekata setiap tahun.

Mungkin faktor cuaca, masa dan keadaan semasa yang boleh mempengaruhi bilangan burung dan laluan mereka.

Kajian terperinci perlu dijalankan bagi mendapatkan jawapan sebenar. Gabungan ahli sains biologi, ekologi, kaji cuaca dengan menggunakan peralatan terkini perlu dalam mendapatkan maklumat lengkap penerbangan burung helang ini semasa melintasi Selat Melaka. Mungkin dengan minat kepada burung helang berhijrah ini dapat meningkatkan bilangan ahli ornithologi negara.

Seperti yang selalu disebut dalam media massa , antara faktor yang mempengaruhi populasi hidupan liar adalah gangguan habitatnya, kehilangan habitat terutama kawasan pembiakan, pencemaran bahan kimia secara langsung atau tidak langsung. Penggunaan racun perosak, pencemaran plastik di lautan, pencemaran udara dan sebagainya yang boleh mengganggu populasi burung berhijrah telah lama dibincangkan.

Burung pemangsa khasnya diancam oleh kehilangan habitat disebabkan oleh aktiviti manusia, pemencilan dan penurunan kualiti habitat, hilang atau kurang mangsa seperti mamalia kecil, dan aktiviti pemburuan. Aktiviti pembalakan di kawasan lereng dan puncak bukit juga merupakan faktor penting 
yang memberi kesan kepada laluan burung pemangsa berhijrah.

Pengurusan kawasan hutan Tanjung Tuan ini mestilah memberikan pengawasan dan kajian sepanjang tahun. Jabatan Ketua Menteri Melaka mestilah memberi perhatian agar kawasan ini memenuhi kehendak program pemuliharaan burung pemangsa yang melalui ruang udara Tanjung Tuan. Data yang lengkap dari segi kualiti hutan simpan ini perlu diadakan disamping kemudahan sesuai untuk pencerapan burung.

Mungkin MNS dapat membantu bagi menyediakan maklumat lengkap bagi tujuan pemuliharaan di samping mendapat manfaat kepada aktiviti pendidikan, pelancongan dan maruah negara dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi. Aktiviti yang dijalankan mestilah memberi pertimbangan kepada kemampuan hutan berkenaan menerima pelawat.