Baru-baru ini penulis berpeluang menikmati masakan kaum Sunda asli dibawa khas oleh Restoran Bumbu Cabe yang terletak di pusat membeli-belah Glo Damansara, Kuala Lumpur. Haruman nasi liwet yang sedang ditanak di dapur restoran segera membuka selera sebaik melangkah masuk ke dalam restoran. 

Melihat susunan hidangan lauk yang pelbagai membuatkan semakin tidak sabar untuk menikmatinya. Ikan talapia terbang, Ayam Bumbu Abang, Ikan Asin Balado dan Sup Ikan Asinan antara yang menggoda jiwa untuk dipesan. 

Sebaik saja menyuap Nasi Liwet Telur Asin yang masih panas digaul pula dengan Ikan Asin Balado dan sedikit kuah dari Ayam Bakar Kicap, penulis terus terimbas kenangan menikmati hidangan sedemikian ketika mengunjungi kota Bandung, Indonesia empat tahun lalu. 

Hidangan Sunda sedikit berbeza dengan hidangan dari Indonesia yang lain. Banyak menggunakan herba seperti daun kemangi, cekut dan halia kampung membuatkan setiap hidangan terasa unik dengan gabungan ramuan asli. 

Menguatkan keaslian menu dan rasa masakan kaum Sunda itu ialah apabila pengasas Restoran Bumbu Cabe, Abang Iskandar Zamren Basrull, membawa 10 orang tukang masak yang berasal dari Kampung Lembang, Bandung yang arif dengan keaslian masakan Sunda.  

“Tiada gabungan masakan lain, sememangnya ia adalah masakan kaum Sunda asli yang banyak menetap di kawasan pergunungan di Bandung, Indonesia. Konsep makan di sini dipanggil ‘lesehan’ iaitu pelanggan duduk dan lauk yang dipesan akan dihidangkan. 

“Di Bumbu Cabe, kami menyediakan sehingga 25 menu berbeza dan ia telah dipilih dengan rapi dan terbaik iaitu hanya lima peratus dari jumlah hidangan Sunda sebenar supaya memudahkan pelanggan membuat pilihan. Menariknya, setiap hidangan boleh dikatakan saling melengkapi. Contohnya, jika memesan Ayam Bakar Kicap, ia sesuai dipesan dengan lauk tempe dan ikan kerana sos ayam bakar juga padan dijadikan cicah ikan dan tempe. 

“Pekerja di Bumbu Cabe akan mencadangkan gabungan mana yang sesuai dengan lauk utama yang dipilih,” terangnya yang membuka cawangan Bumbu Cabe yang ketiga di Glo Damansara, baru-baru ini.

Tidak keterlaluan jika saya katakan menikmati Nasi Liwet Telur Asin begitu sahajapun sudah cukup sedap. Nasi yang dibuang kanji sebelum masak menggunakan daun limau dan daun salam kemudian dimasak pula dengan lengkuas dan serai pasti membuka selera kerana rasa dan keharuman yang hebat. 

“Orang Sunda gemar makan nasi dengan sambal sahaja dan mereka mempunyai banyak resepi sambal yang menarik. Di sini kami bawakan lima hidangan sambal iaitu sambal tomato segar, sambal tomato masak, sambal cabe merah masak, sambal cabe hijau masak dan sambal epal pedas. 

“Rahsianya, setiap sambal dimasak satu setengah jam sehingga kering,” ujarnya yang sering berulang-alik ke ke Bandung Indonesia bagi mempelajari adat dan budaya kaum Sunda.