Pertandingan memancing tersebut adalah anjuran UPM de­ngan kerjasama Kumpulan Utusan dan bakal diadakan di kolam satu dan dua bermula seawal pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengarah Taman Pertanian UPM, Prof. Dr. Japar Sidik Bujang berkata, pelbagai hadiah menarik disediakan kepada pemenang antaranya hamper, hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik, sijil penyertaan dan juga wang tunai berjumlah RM10,000.

“Pelbagai jenis ikan akan dilepaskan ke dalam dua kolam tersebut antara ikan induk adalah daripada spesies patin dan pemenang akan dinilai berdasarkan tangkapan terberat.

“Perkara ini merupakan berita gembira bagi kaki pancing. Kepada yang berminat boleh mendaftar di khemah urus setia Pesta Konvokesyen UPM dengan yuran pendaftaran hanya RM30,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan ikan di Bukit Ekspo, UPM dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor.

Mengulas lanjut kata Japar, UPM bersama Kumpulan Utusan juga sedang membuat perancangan kesinambungan untuk memastikan pertandingan memancing tersebut dapat diadakan empat kali setahun bermula tahun hadapan.

Sementara itu, UPM turut mengadakan ekspo pertanian yang menawarkan kira-kira 6,000 anak pokok buah yang dihasilkan oleh universiti tersebut sepanjang pesta konvokesyen tersebut.

“Pengunjung yang hadir berpeluang untuk mendapatkan da­ging rusa dan kambing berkualiti ternakan UPM dengan harga yang sangat berpatutan, stok jualan adalah terhad.

“Terdapat bermacam lagi acara yang disediakan semasa pesta ini seperti Mini Explorace dan Fun Run sejauh lima kilometer. Aktiviti ini dapat membantu keluarga untuk meluangkan masa bersama selain meraikan graduan,” katanya.

Untuk sebarang urusan pendaftaran dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi urus setia pertandingan di talian 013-266 7011 atau 012-284 6811 atau 013-305 2811.