Konsep santai, ringkas dan menawarkan pelbagai makanan adalah antara sebab ia kini menjadikan pilihan orang ramai terutama golongan muda untuk menjamu selera.

Bagi penduduk di Seremban, mereka kini berpeluang mencuba makanan yang dijual oleh para pengusaha trak makanan yang beroperasi di pekarangan bangunan Seremban Plaza di sini.

Sebelum ini pengusaha trak makanan di negeri ini hanya dibuka secara kecil-kecilan di beberapa lokasi antaranya di Seremban 2 dan Port Dickson.

Dibuka kira-kira tiga bulan lalu, lokasi yang dikenali sebagai ‘FoodTruck [email protected]’ itu menghimpunkan lebih 15 pengusaha trak makanan bermula pukul 5 petang hingga 12 malam pada Jumaat hingga Ahad.

Menurut Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Trak Makanan Bangi, Mohd. Syazwan Shamsul Bahar, sejak dibuka konsep yang julung-julung kali diadakan oleh Mara dengan kerjasama persatuan itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

“Pelbagai makanan boleh didapati daripada makanan kampung hingga ala Barat, semuanya ada disediakan di sini antaranya mi sup Sabah, lasagna, laksa, air buah, roti John.

“Pada mulanya pihak penganjur menyediakan 30 kerusi dan meja tetapi kini terpaksa menambahnya kepada 70 hingga 80 buah berikutan pengunjung semakin ramai terutamanya Sabtu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, selain me­nikmati makanan, pelanggan juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan buskers.

“Setakat ini ada lima kumpulan yang membuat persembahan secara bergilir-gilir setiap minggu bagi menghiburkan pe­langgan. Ternyata konsep ini sa­ngat digemari oleh orang ramai,” ujarnya.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa gerai yang dibuka menjual barangan seperti pakai­an lelaki dan wanita, tudung, peralatan telefon, cenderahati dan lain-lain lagi.