“Melihat kepada permintaan yang semakin menggalakkan, saya mengambil keputusan untuk komersialkan sambal ini dengan jenama NekNor sempena nama ibu saya Norisah,” kata Pengarah DMS Resources Sdn. Bhd., Mohd Sani Musa semasa ditemui di kilangnya di Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Bersama-sama dengan tiga orang lagi rakannya Dr. Mohamad Azrin Zubir, Dina Hafizah Mansor dan Zulkhornain Ranee, mereka mula mengadun resipi sambal menggunakan bahan-bahan yang sama seperti digunakan oleh ibu Sani.

“Pada tahun 2008, kami mula memasarkan sambal jenama NekNor dan mula mendapat tempat di Pasar Raya Giant pada ahun 2009 dan kemudian ke beberapa pasar raya lain seperti Tesco, Aeon Big dan terkini di lebih 1,000 cawangan Speedmart 99.

Bermula dengan hanya sambal NekNor perisa asli kini terdapat lebih 30 produk yang terdiri daripada pelbagai jenis sambal seperti sambal pedas, sambal sotong, sambal udang kering dan sambal belacan.

“Paling istimewa kami memperkenalkan jem berperisa buah-buahan tempatan seperti nangka, nanas dan mangga, rambutan dan tropika iaitu campuran nangka, nanas dan mangga yang mendapat permintaan menggalakkan.

“Kami juga mengeluarkan rempah-ratus seperti rempah kari ikan, rempah kari ayam dan daging, rempah kurma, rempah sup dan serbuk kunyit serta gula melaka, kuah rojak dan belacan.

Galakan

“Kami juga mengeluarkan produk yang digunakan setiap hari serta produk bermusim seperti kerepek dan muruku tetapi produk ini mendapat permintaan menggalakkan walaupun di luar musim,” katanya.

Dalam masa 10 tahun berada di pasaran, produk jenama NekNor telah melebarkan sayap di luar negara seperti China, Arab Saudi dan terkini bakal memasuki pasaran Eropah melalui rangkaian Pasar Raya Lidl di Jerman.

“Kami banyak menerima galakan dan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (M0A), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SIRIM dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya.

Buat masa ini hampir semua produk NekNor dihasilkan di kilang di Pandamaran, Klang Selangor sebelum berpindah ke Shah Alam pada bulan Jun tahun ini manakala gula melaka dihasilkan di kilang di Melaka.

“Di sana kami menjangkakan peningkatan kapasiti pengeluaran sehingga empat kali ganda bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah terutama untuk pasaran luar negara pada masa akan datang,” katanya.

Sani menambah, bagi menghasilkan produk terbaik pihaknya sentiasa menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menghantar sampel untuk ujian makmal bagi memantau ketahanan sesuatu produk yang dipasarkan.

“Dengan segala R&D dan ujian makmal yang dijalankan produk kami boleh bertahan selama dua tahun dan dijual dengan harga berpatutan dan mampu dibeli oleh semua peringkat pengguna.

“Kami sentiasa memastikan produk kami menepati selera masyarakat tempatan dengan menggunakan bahan mentah segar serta resipi turun-temurun,” kata Sani yang sentiasa berusaha mengembangkan bisnesnya.

Terkini mereka sedang membangunkan beberapa produk lain seperti pes asam pedas, pes tomyam, sambal ayam penyet dan cili boh.

“Kami berharap produk NekNor akan berjaya menawan dunia dalam masa terdekat,” katanya.