Bagi meraikan perpaduan bersempena 60 tahun kemerdekaan pada hujung bulan ini, Kafe Retro di Hotel Vivatel Kuala Lumpur memperkenalkan bufet sajian Merdeka Semi-Buffet dengan menyediakan seleksi hidangan kegemaran ramai pada harga berpatutan.

Antara hidangan Merdeka Semi-Buffet pastilah rasa dan rencah Malaysia seperti pelbagai pilihan mi yang menunya berbeza setiap hari seperti mi kari nyonya dan sajian pasta serta sup sebagai pilihan bagi mereka yang menggemari masakan Barat.

Namun, menu utama adalah ikan siakap goreng dan ayam kampung goreng yang dihidangkan, bersama nasi putih dengan pilihan kuah kari atau masak lemak, hanya RM58 untuk seorang!

Menurut Chef Eksekutif, Kafe Retro, Chef Ashar Daud, bufet bersempena merdeka ini mengetengahkan sajian yang kaya dengan rasa Malaysia untuk memenuhi selera tempatan dengan harga berpatutan.

“Pilihan hidangan seekor ikan siakap goreng atau setengah ekor ayam kampung goreng merupakan nilai yang hebat untuk pelanggan kerana biasanya untuk hidangan sedemikian sahaja harganya agak mahal.

“Nampak ringkas tetapi perapan yang disediakan untuk kedua-dua sajian ini diolah istimewa untuk membawa nilai tradisi. Paling penting sajian ini mampu memenuhi selera pelbagai bangsa dan lapisan umur.

“Untuk melengkapkan hidangan pelanggan, ulam-ulaman, salad, acar jelatah dan pelbagai pilihan sos seperti air asam, sambal kicap, sambal belacan dan sos pedas Thai ditawarkan sebagai simbolik sajian asli negara Malaysia,” katanya.

Berkongsi rahsia bagaimana menyediakan hidangan ikan siakap tanpa ‘rasa tanah’ yang tidak digemari sesetengah orang, ujar Ashar, ikan perlu digoreng rangup pada suhu minyak yang betul.

Selain nasi, pelanggan juga disajikan dengan hidangan mi seperti mi kari nyonya dan sajian pasta serta sup sebagai pilihan bagi mereka yang menggemari masakan Barat.

Bufet yang ditawarkan untuk makan tengah hari bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang itu hanya berharga RM38 seorang dan pelanggan hanya perlu menambah RM12 sahaja untuk tambahan sajian utama.