Tujuannya bukan sekadar mencari duit poket bagi membiayai pengajiannya, bahkan lebih penting mengumpul pengetahuan dan pengalaman.

Ringkas dipanggil Hadri, anak muda ini sememangnya cukup berminat dengan bidang makanan dan minuman.

Dia menyimpan keinginan untuk mempelajari cara membuat kopi sebenar.

Mulanya dia menyangka membuat kopi mudah sahaja, hanya letak sesudu kecil kopi dan gula ke dalam cawan, lalu bancuh bersama air panas.

Namun, setelah bekerja di kafe tersebut, baru dia tahu bahawa banyak cara membuat kopi, umpama sebuah eksperimen.

Demikian cerita awal Hadri, ketika ditemui di restorannya, Thursdvys yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik Ijazah Pemasaran dan Perakaunan dari Royal Melbourne Institute of Technology, Melbourne, Australia, ini menambah, pada awal bekerja di kafe, dia diberi tugas untuk membasuh pinggan.

Tiga bulan selepas itu baru dinaikkan ke jawatan sebagai pembancuh kopi.

Kini memiliki restoran sendiri, Hadri bebas melahirkan idea bagi penyediaan makanan dan minuman untuk pelanggan, yang rata-rata terdiri daripada golongan muda.

Bercerita mengapa dia memilih nama Thursdvys yang kedengaran agak pelik, katanya, nama tersebut mempunyai banyak kenangan padanya.

Thursday atau Khamis adalah hari bapanya meninggal dunia, tahun yang sama, hari jadi Hadri juga jatuh pada hari Khamis dan dia mendapat kunci restorannya bagi memulakan perniagaan juga pada Khamis.

Mula dibuka pada Februari 2014, restoran yang mengambil konsep kedai kopi Australia itu menyediakan hidangan fusion barat bagi memenuhi selera pengunjung.

Hidangan brunch (sarapan dan makan tengah hari) seperti ayam panggang, burger donat, enam jenis pasta, fish & chips, sandwich dan banyak lagi, pasti tidak mengecewakan.

Sebelah petang pula, pelanggan boleh menikmati nachos dan spring roll bersama minuman panas atau sejuk.

Bagi penyediaan kopi dan teh pula, Hadri hanya menggunakan kopi dan teh berkualiti yang diimport dari Eropah dan Melbourne.

Bercita-cita untuk membekalkan biji kopi panggang jenama sendiri ke restoran dan kafe di negara ini, dia kini sedang mempelajari bagaimana hendak membuat kedua-dua minuman kegemaran ramai itu.

Menurut anak tunggal lelaki daripada dua beradik ini, kebanyakan kafe tidak menyediakan makanan berat seperti yang terdapat di restorannya.

Bagaimanapun, dia memilih untuk menyediakan makanan berat yang mengenyangkan. Bagi mereka yang sentiasa tergesa-gesa dan mahu cepat, ada pilihan brunch pula.

“Makanan yang paling disukai pelanggan ialah burger donat, iaitu patti daging berbentuk bulat diapit roti yang berlubang di tengah-tengah. Bahagian yang berlubang diletakkan telur goreng dan dihidangkan bersama jejari kentang. Burger donat ini sangat mengenyangkan dan pelanggan cukup berpuas hati.

“Dada ayam panggang yang dihidangkan bersama kentang goreng dan sayur-sayuran turut menjadi pilihan. Begitu juga dengan beberapa pilihan pasta yang enak dan lazat.

“Terbaharu ialah hirisan sotong yang dicelup ke dalam telur masin dan tepung rangup. Hidangan ini dibuat sedikit pedas bagi disesuaikan dengan selera masyarakat tempatan. Sedap dimakan sebagai snek dan tidak menjemukan,” katanya.

Hadri menambah, kebanyakan resipi yang terdapat di restorannya adalah resipi olahan ketua cef sendiri, yang cukup berpengalaman.

Sebagai pemilik restoran, dia juga tidak keberatan untuk ‘turun padang’ melayan pelanggan yang berkunjung bagi mendapatkan maklum balas terutama tentang jenis-jenis makanan yang mereka ingin nikmati di situ.

Tambahnya, dia suka mencuba dan memperbaiki setiap menu yang mahu dijual sehingga benar-benar berpuas hati. Setiap empat bulan, dia akan menukar menu yang ada supaya pelanggan mempunyai banyak pilihan.

Hadri juga bercadang menambah menu piza, nasi dan pasta sambal udang atas permintaan pelanggan.

Dibuka setiap hari kecuali Khamis dari pukul 8 pagi hingga 11 malam, Thursdvys yang berkapasiti 80 orang bagi satu masa, turut menerima tempahan untuk majlis-majlis seperti korporat, pelancaran produk, hari jadi, penggambaran drama dan sebagainya.