Dari makanan tempatan hinggalah kepada makanan asing, segalanya boleh diperoleh dengan mudah, bak kata orang ‘tepuk dada tanya selera’.

Misalnya, bagi yang gemar masakan Barat apa kata kunjungi kafe Markcheeks Kitchen di aras 3, pusat beli-belah AEON, Shah Alam, Selangor.

Menawarkan pelbagai menu seperti restoran masakan Barat lain, kelainan yang ditampilkan di sini ialah dari segi cara sajian dan penggunaan rempah-ratus tempatan.

Pengarah kafe, Izam Shafinaz Zakaria, 38, berkata, pihaknya cukup prihatin dengan cita rasa setiap pengunjung, juteru hanya bahan-bahan terbaik dan terpilih sahaja digunakan dalam penyediaan makanan.

“Tidak dinafikan masyarakat kita mempunyai cita rasa berbeza apabila berbicara mengenai makanan, malah ada juga yang ingin mengubah selera.

“Selain masakan tempatan, masakan Barat dilihat menjadi pilihan kebanyakan masyarakat negara ini. Mereka dilihat boleh menerima apa juga jenis sajian Barat yang ditawarkan.

“Di Markcheeks Kitchen, kami sedaya upaya mengekalkan keaslian sesuatu resipi, tetapi ada juga yang diolah sedikit dalam usaha memenuhi selera tempatan,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitan dalam bidang perniagaan makanan, Izam yang merupakan bekas pramugari memberitahu, dia hanya bermula dengan lasagna.

Ketika itu dia hanya menawarkan perkhidmatan penghantaran untuk menu tersebut.

Tanpa disangka penerimaan daripada orang ramai begitu menggalakkan apabila dalam tempoh beberapa bulan perniagaannya mula dikenali ramai.

Bertitik tolak dari situ, peluang Izam semakin cerah apabila ditawarkan tapak untuk membuka kafe pertamanya oleh pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

Menyifatkan peluang yang diberikan tidak selalu hadir, akhirnya dengan persetujuan Cef Sudirman Asaratin dan seorang lagi rakan kongsi, Wan Suhaila Wan Othman, kafe tersebut mula beroperasi sebulan lalu.

Hari ini menawarkan lebih daripada 24 jenis makanan, kesemua masakan di kafe tersebut dimasak sendiri oleh Cef Sudirman, yang juga suami Izam.

Mempunyai pengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B) di hotel-hotel bertaraf lima bintang, kesemua persediaan disediakan Cef Sudirman sendiri.

Turut bertanggungjawab menyenaraikan bahan-bahan keperluan harian, Izam berkata, mereka hanya memberikan yang terbaik kepada setiap pelanggan.

“Setiap pesanan yang dibuat, kami akan pastikan ia dihidangkan segar dan berkualiti untuk memberi rasa yang sebenar.

“Selain itu, kami juga hanya menyajikan sajian-sajian yang halal termasuk daging lembu dan ayam.

“Untuk rempah ratus pula, selain rempah tempatan kami turut menggunakan rempah-rempah dari Asia Barat untuk memberi lebih perisa ke dalam masakan,” katanya.

Antara masakan-masakan yang boleh didapati di Markcheeks Kitchen ialah piza, burger, sandwich, grilled lamb cutlets, grilled salmon with buttered, grilled chicken chops, chicken casar salad, dan seafood marinara.

Dalam usaha memberikan yang terbaik buat setiap pelanggan, pada awal Mei ini restoran tersebut akan memperkenal menu baharu, shell out.

Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, harga yang ditawarkan juga cukup berbaloi, bermula dari RM15 hingga RM25.

Boleh memuatkan sehingga 50 pengunjung pada satu-satu masa, Izam memberitahu, perniagaan penghantaran dan kateringnya masih lagi beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Turut menawarkan tempat untuk menganjurkan majlis hari jadi, sesiapa yang berminat dan untuk mengetahui maklumat lanjut bolehlah layari media sosial Facebook mark cheek’s kitchen dan Instagram mark_cheeks_kitchen.- Gambar NASIRRUDDIN YAZID