Populariti makanan Arab sememangnya tidak disangkal apatah lagi dengan trend masyarakat di negara ini yang gemar mencuba dan mudah menerima makanan luar.

Kini giliran makanan Turki pula mencuri perhatian dan mula mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Bukan sekadar terkenal dengan sajian kebab, makanan Turki turut menjadi tumpuan bagi mereka yang gemar menikmati manisan.

Sangat bersifat ‘kedesaan’ apabila kebanyakan sajiannya dimasak dengan memberi tumpuan kepada sos, potongan daging kecil direbus bersama sayur-sayuran dan daging dimasak berkuah dengan api sangat kecil.

Juga boleh dianggap makanan yang cukup mewah dengan sayur-sayuran, herba dan ikan. Bahan-bahan yang biasa digunakan adalah seperti kambing, daging, ayam, terung, kacang, bawang putih dan tumbuhan kekacang yang lain.

Turut tergolong dalam sajian sihat, kepada mereka yang ingin merasai sendiri keenakan masakan Turki, apa kata berkunjung ke Alaturka Turkish Cuisine yang terletak di B-LG-20 Shop Lot Vista Alam, Jalan Ikhtisas, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Menawarkan lebih daripada 53 jenis menu, pemilik restoran, Jalil Soo memberitahu, setiap sajian yang dihimpunkan di restoran tersebut benar-benar bercita rasa Turki.

Untuk itu, dia sanggup mengambil cef utama yang berketurunan Turki bagi membantu menghasilkan pelbagai sajian asli Turki yang enak.

“Sudah tentunya kami ingin memberikan yang terbaik kepada pengunjung untuk menikmati sajian asli Turki.

“Insya-Allah apa yang cuba kami sajikan kepada pengunjung pastinya tidak mengecewakan dan ia adalah kelainan yang cuba kami tampilkan dalam selera masyarakat tempatan hari ini,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.

Berbicara lebih lanjut mengenai restoran tersebut, Jalil yang mengusahakannya bersama seorang lagi rakan kongsi, Abdul Jalal Idris, memberitahu, kesemua bahan serta rempah-ratus yang digunakan dalam setiap sajian adalah asli dari negara berkenaan.

Mendapatkan bekalan dari beberapa pasar raya Mediterranean yang ada di Lembah Klang, Jalil mengakui, bersama Abdul Jalal mereka akan usahakan sehingga dapat rempah-ratus atau bahan-bahan lain sekiranya kehabisan stok.

Bagaimanapun, setakat ini pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan kesemua stok memandangkan mereka tidak menunggu sehingga kehabisan stok untuk menambah apa yang berkurangan.

Bercakap mengenai menu pula, Jalil menjelaskan, restorannya sesuai untuk seisi keluarga.

“Namakan sahaja apa yang anda ingin nikmati, kami akan berusaha menyediakannya.

“Antara yang boleh didapati di Alaturka Turkish Cuisine ialah ekmek lerimiz (roti Turki), sup, piza, pides (roti berinti), salad, boreks (roti), kebab, burger, gozleme (pastri daging dan herba), nasi pilav, dan manisan baklava,” katanya.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh memilih antara 22 jenis minuman yang disediakan sama ada jus buah-buahan, minuman sejuk mahupun minuman panas.

Bagi mereka yang gemarkan roti, pastinya memberikan satu pengalaman baharu kerana di sini kesemua roti akan dibakar di dalam ketuhar batu-bata tradisional dengan menggunakan kayu api.

Akan mengambil masa sekitar lima hingga enam minit, aroma daripada kayu api pastinya memberi kelebihan rasa pada roti tersebut.

“Bercakap mengenai roti dan juga masakan-masakan lain, kesemuanya disediakan segar di mana segala persediaan akan dilakukan setiap hari pada awal pagi.

“Segala masakan yang diperap juga akan diperap seawal mungkin kerana ada yang memerlukan sehingga enam jam perapan dan roti antara 45 minit hingga satu jam.

“Sebagai contoh sekiranya ada pesanan roti, kami hanya akan menguli dan membakar sejurus tempahan diterima kerana selain ingin menjaga kualiti roti tersebut, ia juga memberikan tekstur berbeza apabila dimakan sebaik sahaja dikeluarkan daripada ketuhar,” katanya lanjut.

Dibuka setiap hari dengan dua sesi dari pukul 11 pagi hingga 3 petang dan 6 petang sehingga 11 malam, restoran ini boleh menampung sehingga 60 pengunjung pada satu-satu masa.

Juga bakal menampilkan sajian baharu, Mediteraanean chilli mussel dan food platter (gabungan nasi, salad, ayam dan kambing) pada Disember ini, setiap sajian di sini pastinya berbaloi dengan harga yang cukup berpatutan antara RM3 hingga RM28. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH