Beruntung bagi yang masih punya emak, namun mereka yang sudah tidak punya atau emak jauh nun di kampung, tidak semestinya terus ‘kempunan’.

Kunjungan ke restoran Teratak milik Nor Aini Kamaruddin, 54, yang menghuni satu sudut di aras bawah pusat beli belah Glo, di Jalan Damansara, Kuala Lumpur bakal mengubat ‘kerinduan’ tersebut.

Selera anda pasti akan dikejutkan oleh keaslian rasa masakan Melayu, yang sebahagiannya adalah resipi asal dari buku masakan emak kepada pemilik restoran ini.

Menghidu aroma nasi serai atau di Johor lebih dikenali dengan panggilan nasi beringin, sudah cukup untuk membangkitkan selera apatah lagi apabila dijamah bersama kuzi Johor sama ada daging atau kambing.

Memang lebih banyak menampilkan masakan asli Johor kerana kebetulan Nor Aini sendiri berasal dari Muar.

“Semua makanan ini memang popular di Johor dan ramai yang tahu membuatnya, tetapi mungkin tidak sama dengan resipi yang emak cipta.

“Memang tabiat emak saya dari muda suka mencipta resipi. Biasanya, sesuatu masakan itu dia akan tambah atau ubah suai di sana sini dan akan mencatatnya dalam buku.

“Sebagai contoh, resipi kuzi ini emak saya buat sejak 1966 lagi. Buku tersebut yang saya guna hingga sekarang.

“Emak saya sangat teliti dan cerewet dalam masakan. Semua perlu tepat, bukan sahaja dari segi rasa malah penggunaan bahan dan cara penyediaan sehingga nipis atau tebal hirisan timun dalam laksa Johor pun dia akan perhatikan.

“Sebab itu saya tidak risau tentang rasa makanan di restoran ini kerana semuanya sudah melepasi ‘piawaian’ emak,” katanya sambil tersenyum.

Akur dengan kata-kata Nor Aini. Penulis sendiri yang sememangnya ‘kaki’ laksa, sejujurnya agak terkesima apabila berpeluang merasai Laksa Johor Teratak.

Lidah dapat menyentuh sesuatu yang berbeza berbanding laksa Johor yang pernah dirasai sebelum ini. Kehadiran bahan ‘rahsia’ menyerlahkan lagi rasa lemak kuah laksa.

Biarpun dapat mengagak bahan rahsia tersebut, penulis tidak mahu mendedahkannya sebagai menghormati pemilik resipi. Biar pengunjung merasai dan menekanya sendiri.

Selain bahan ‘rahsia’ itu, istimewa Laksa Johor Teratak mempunyai hirisan halus telur dadar dan tiada hirisan daun kesum, selain kehadiran sambal belacan, hirisan kacang panjang, lobak asin dan perahan limau kasturi penambah rasa.

Bukan sekadar masakan Johor, secara umumnya Teratak menghimpunkan makanan asli Melayu termasuk rendang asli Negeri Sembilan resipi ibu mentua, ikan patin masak tempoyak, masak lemak pucuk ubi, mi udang, soto ayam dengan begedil, bihun sup utara, terung belacan, kari kepala ikan dan banyak lagi.

Tidak sah kalau makan tidak ada pencuci mulut sebagai penutup hidangan. Pasti tidak akan kecewa dengan bubur pulut hitam, kuih muih Melayu, pengat pisang, ais krim goreng, puding roti dan cendol istimewa.

Namun, pilihan penulis, sago gula Melaka, dengan rasa lemak-lemak manis dari gula kabung asli meresap ke tekak.

“Gula kabung tersebut saya beli sendiri dari pengusaha di Melaka. Walaupun harganya lebih mahal, saya puas hati kerana rasanya memang sedap,” kata Nor Aini.

Bercerita mengenai Teratak, kata Nor Aini, pilihan nama tersebut juga punya nilai sentimental.

“Ketika pembukaan restoran ini, kontraktor yang membuat pengubahsuaian menghadiahkan sebuah lukisan.

“Apa yang mengejutkan kami, lukisan rumah Melayu lama itu salin tidak tumpah seperti rumah datuk suami di kampung di Negeri Sembilan, sedangkan rumah tersebut sudah lama tiada.

“Kami anggap kebetulan tersebut umpama isyarat bahawa kami melakukan yang betul dalam mengangkat makanan Melayu asli,” katanya.

Bekas kakitangan syarikat petrolium negara itu, mengakui sejak beroperasi pada Ogos tahun lalu, aliran masuk pengunjung agak perlahan memandangkan pusat beli-belah tersebut masih baharu dan belum banyak kedai dibuka.

Justeru, untuk memastikan operasi berjalan lancar, dia turut mengambil tempahan untuk majlis-majlis eksklusif seperti hi tea, reunion, majlis hari jadi, pelancaran produk, majlis korporat dan sebagainya.

Malah menjelang bulan puasa tidak lama lagi, restoran tersebut turut merancang untuk memperkenal set Ramadan.

Mampu memuatkan 70 pengunjung pada satu-satu masa, konsep hiasan dalaman nampak mewah dan sepenuhnya diilhamkan oleh Nor Aini daripada memilih warna dinding hingga kepada corak jubin pada kaunter dan lampu gantung yang secara keseluruhan menampilkan klasik kontemporari. - GAMBAR AMIR KHALID