Mereka sanggup menghabiskan masa, mengambil cuti dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri yang agak tinggi bagi menyertai program tersebut semata-mata mahu melihat khazanah dasar laut di kawasan berkenaan terus dipulihara.

Kalangan penyelam terbabit terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dan bernaung di bawah #genghafizmahmud dan Red Divers Borneo.

Sepanjang enam hari di Pulau Layang-Layang, selain melakukan aktiviti propagasi terumbu karang, lebih 15 peserta terbabit turut berpeluang melepaskan dua ekor penyu ke laut, selain melakukan pembersihan sampah-sarap di dasar laut.

Lebih menarik apabila peserta yang merupakan penyelam skuba berpengalaman, tidak hanya tertumpu kepada aktiviti fun dive, sebaliknya teruja melakukan propagasi terumbu karang.

Program Sahabat Layang-Layang itu mendapat kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dorken Reef Resources dan Jabatan Perikanan.

Pemilik Red Divers Borneo, Aminor Azmi Abdul Latip memberitahu, program Sahabat Layang-Layang itu melibatkan aktiviti tanggungjawab sosial seperti penjagaan khazanah laut dan hidupan di dasar laut.

“Kita tidak tertumpu kepada fun dive sahaja, sebaliknya setiap peserta ada tanggungjawab yang diberi melibatkan propagasi terumbu karang. Peserta diajar cara-cara propagasi terumbu karang. Kita bersama-sama melakukannya di darat dan juga ketika di dasar laut.

“Harapan kita, dari propagasi itu nanti, terumbu karang dapat membiak secara meluas dan menjadikan Pulau Layang-Layang tumpuan hidupan laut seperti ikan dan sebagainya. Juga diharap program Sahabat Layang-Layang ini dapat diteruskan lagi dengan pembabitan lebih ramai peserta,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia yang turut menjayakan program berkenaan dan juga pihak-pihak terbabit.

Bagi Hafiz Mahmud yang mengetuai #genghafizmahmud, pembabitan dalam program Sahabat Layang-Layang sesuatu yang unik kerana melibatkan tanggungjawab sosial seperti penjagaan alam sekitar dasar laut.

“Memang dasar laut Pulau Layang-Layang cantik, namun propagasi terumbu karang dalam program ini dapat membiak dan meluaskan lagi zon terumbu karang di kawasan ini serta menarik kehadiran lebih banyak hidupan laut,” katanya.

Tambah Hafiz, untuk menjayakan program ini bukan sesuatu yang mudah kerana tidak ramai peserta berkemampuan kerana ia melibatkan kos agak tinggi untuk berkunjung ke Pulau Layang-Layang berbanding destinasi lain yang lebih murah.

“Peserta sanggup berbelanja besar untuk memastikan khazanah laut di pulau ini terus dijaga,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini.

Sementara itu, Ketua Stesen Penyelidikan Marin Pulau Layang-Layang, Daud Awang berkata, program propagasi itu menggunakan barangan terbuang seperti bingkai besi dan sebagainya.

“Penggunaan barangan seperti ini lebih murah. Namun, ada barangan lain yang agak mahal seperti glu khas buatan luar negara disebabkan barangan itu tidak terdapat dalam negara.

“Harapan kita, pihak-pihak tertentu seperti universiti tempatan dapat menghasilkan inovasi bahan-bahan seperti glu ini dan langkah ini dapat menjimatkan kos,” katanya.

Menurutnya, melalui propagasi itu, terumbu karang yang diikat pada bingkai besi boleh membesar serta membiak dari lima sentimeter (sm) kepada 18 sm.

“Ini dapat menjadikan kawasan pulau ini tumpuan hidupan laut,” katanya.