Ini kerana warna pelangi itu dapat dilihat dari jauh sama ada oleh orang-orang yang menelusuri Sungai Kelantan mahupun melalui udara kerana kesemua­nya dicat termasuk pada bahagian atap.

Program ‘Kampung Pelangi’ itu adalah inisiatif Pertubuhan Wanita Prihatin Kelantan (PWPK) dan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dengan kerja­sama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan mentransformasi perkampu­ngan di tebing Sungai Kelantan sekali gus menarik perhatian pelancong.

Yang Dipertua PWPK, Zarina Md. Eusope berkata, sebanyak 148 rumah di Kampung Sungai Budor dan juga Kampung Nik Nal dekat sini dijangka terlibat dengan kos keseluruhan RM 1.5 juta termasuk bagi kerja mengecat dan baikpulih.

“Kerja-kerja dibuat berasaskan gotong-royong dan dibahagikan kepada beberapa fasa, khidmat kontraktor juga digunakan untuk membaik pulih dan mengecat rumah dan kita menjangkakan 80 peratus daripada kerja-kerja keseluruhan akan siap pada suku ketiga tahun ini.

“Pihak kami amat mengalu-alukan sumbangan dan keterli­batan pihak-pihak yang berminat merealisasikan usaha kebajikan ini supaya ‘Kampung Pelangi’ dapat dipromosi dalam senarai kawasan pelancongan sekali gus menjana ekonomi penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kampung yang kedudukannya tidak sampai 10 minit dari pusat bandar itu mendapati penduduk sangat gembira kerana kampung mereka bakal berubah wajah sepenuh­nya apabila projek itu siap kelak.

Salah seorang penduduk, Rosfadishah Yusoff, 44, berkata, warna-warna terang pada beberapa rumah setakat ini mampu dilihat dengan mata kasar sejauh Pasir Pekan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kam­pung itu dan di seberang Sungai Kelantan.

“Ada pelawat dari Pasir Pekan beritahu dia terkejut lihat rumah-rumah pelangi dari seberang sungai dan terus datang mencari kampung kami ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Budor, Wan Rosli Wan Mohamed pula berkata, pelajar UKM telah turun padang dua kali iaitu pada Januari dan Februari bersama MPKB-BRI bergotong royong membersihkan kawasan kampung sebelum kerja-kerja intensif mengecat dimulakan pada Mac.

“Kawasan ini lebih dikenali dengan nama hujung tanjung Sungai Budor dan menjadi tempat tumpuan pemancing ikan, kebanyakan rumah dibina rapat-rapat atas tanah yang disewa dengan pihak lain.

“Saya berharap dengan transformasi kampung yang berlaku terutama kehadiran pelancong maka penduduk juga haruslah sama-sama memberi sumba­ngan terutama menjaga aspek kebersihan,” katanya.