Hampir terkedu saya dibuatnya. Wanita yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam dunia kewartawanan meminta maaf kepada wartawan baharu setahun jagung yang mana bahasanya pun masih berterabur, membuatkan saya tergamam seketika.

Tetapi, itulah Maimunah, 69, atau turut dikenali sebagai Mona dalam kalangan rakan-rakannya. Seorang yang sangat merendah diri, sedikitpun tidak bermegah dengan pengalamannya, begitu peramah dan tidak kedekut berkongsi ilmu ketika saya menemu bual beliau hampir empat jam di rumah kawannya di Jalan AU 3/10, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rasa sedikit gentar pada awalnya untuk bertemu individu hebat ini bagi menyiapkan rencana khusus penglibatan wartawan wanita bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018, hilang begitu sahaja apabila temu bual ini sentiasa tidak lekang dengan gelak tawa.

"Saya dalam kumpulan kedua perempuan yang dilantik sebagai pemberita Utusan Malaysia pada 1968 bersama tiga lagi rakan lain iaitu Rosminah, Faridah Idris dan Norijah Md. Nor. Ketika itu, wartawan wanita tidak ramai.

“Hanya enam wartawan wanita di Utusan termasuk kami dan dua wanita kumpulan pertama, Allahyarham Azizah Ali dan Allahyarham Bahyah Mahmood,” kata Maimunah.

Maimunah, sememangnya satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia kewartawanan tanah air dan masyarakat di luar sana khususnya golongan wanita.

Terkenal dengan hasil penulisannya yang memaparkan pelbagai kisah wanita berumah tangga menerusi ruangan khas beliau iaitu Di Celah-Celah Kehidupan (DCCK), anak sulung daripada dua beradik ini begitu sinonim dengan perjuangan menyuntik kesedaran buat rakan wanita lain mengenai hak dan tanggungjawab mereka.

Menariknya, DCCK bukanlah sebarangan kolum. Sejak ia mula menemui pembaca pada tahun 1979, ruangan khas yang diterbitkan pada setiap hari Ahad dalam Mingguan Malaysia ini adalah kolum paling lama bertahan dan mempunyai peminatnya tersendiri.

Walhal, bukan mudah untuk memastikan sesuatu kolum itu terus bertahan apatah lagi usianya kini sudah menghampiri empat dekad perjalanannya.

Tetapi, inilah keistimewaan anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan dalam menjentik naluri pembaca sehingga ada yang ‘membesar’ dan mengambil iktibar daripada pelbagai paparan kisah kehidupan dalam DCCK.

“Biarpun sudah bersara pada 2005, saya tidak pernah jemu menyedarkan wanita mengenai hak mereka supaya tidak teraniaya menerusi penulisan.

“Malah, sehingga saat ini, saya masih aktif menyumbang kisah wanita dan ada juga kadang-kadang cerita lelaki pada DCCK untuk bacaan pembaca,” katanya.

Akan tetapi, siapakah wanita ini sebenarnya? Ramai yang lebih mengetahui beliau sebagai penulis DCCK walhal perjalanan kariernya teramatlah hebat dan sangat membanggakan.

Catat sejarah Utusan

Minat ibu kepada empat orang anak ini dalam bidang penulisan bermula sejak di Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur lagi.

Ketika itu, ayahnya Allahyarham Mohamad Yusof Ismail, seorang Pegawai Penjara Pudu Kuala Lumpur dan pernah bekerja sebagai pengatur huruf di akhbar Majlis sebelum itu amat rajin melanggan Utusan Melayu.

Bermula dari situ tertanam sedikit demi sedikit minat membaca dalam diri Maimunah.

“Utusan Melayu beritanya dalam tulisan jawi dan apabila saya hendak baca rumi, saya akan pergi ke rumah kawan kerana emaknya melanggan Berita Harian.

“Memang saya suka membaca dan apabila ada tawaran untuk jadi wartawan, saya cubalah. Tidak sangka 100 yang datang temu duga di Utusan, saya antara yang terpilih daripada 10 orang,” katanya.

Bermula daripada wartawan biasa, Maimunah dilantik sebagai Penolong Pengarang akhbar Mingguan Malaysia pada 1980 dan merupakan wanita pertama yang mencatat sejarah di Kumpulan Utusan dilantik ke jawatan itu.

Beliau seterusnya menjadi Penolong Pengarang Majalah Wanita pada 1983 dan pada tahun berikutnya telah diangkat sebagai Pengarang Majalah Wanita selepas berjaya menaikkan edaran majalah itu sehingga melebihi 100,000 naskhah sebulan.

Perlantikan itu juga menjadikan Maimunah wanita pertama di akhbar Kumpulan Utusan memegang jawatan itu.

Potensinya dalam mengendalikan ruangan wanita semakin menyerlah sehingga mendapat kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarang Halaman Wanita Kumpulan Utusan bagi akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu dan Utusan Zaman pada 1986.

Jasa untuk wanita

Seperti mana sebelum itu, Maimunah juga wanita pertama dilantik menjadi pengarang akhbar Mingguan Malaysia pada 1997 dan seterusnya menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarang Bahagian Majalah Kumpulan Utusan pada tahun 2000.

Dua tahun kemudian beliau diberikan tugas khas untuk merancang dan merangka yang kemudiannya melahirkan Utusan Karya pada 2003, anak syarikat menerbitkan majalah terbitan Kumpulan Utusan.

“Bagi mengendalikan Utusan Karya, saya dilantik menjadi Ketua Pengarang Majalah dan Ketua Pegawai Operasi Utusan Karya dan menjawatnya sehingga bersara.

“Semasa menjadi pemberita, saya sudah cuba banyak tempat tetapi semua tidak menjadi. Yang menjadi, hanya di Wanita sahaja,” katanya.

Jasa Maimunah sangat besar malah pendedahan nasib wanita yang diceraikan sejak tahun 1970-an turut mendapat perhatian dan kerjasama Kadi Kampung Datuk Keramat, Arshad Masjuri yang bersimpati dengan masalah golongan itu.

Ini membuatkan Arshad kemudiannya mengambil inisiatif melantik wanita menjadi pegawai penasihat di pejabatnya ketika itu dan langkah beliau menjadi ikutan di seluruh Selangor dan negeri lain.

Selain itu, Maimunah berusaha menukarkan penggunaan perkataan ‘janda’ kepada ibu tunggal bertujuan memberi perangsang kepada kaum wanita agar berani menghadapi cabaran hidup walaupun sudah bercerai.

“Kalau ditanya sampai bila akan menulis, saya tidak ada jawapan kerana saya seorang yang aktif dan tidak boleh duduk diam,” katanya yang turut menubuhkan Kelab Ibu Tunggal (KIT) dan kini Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT). - BERNAMA

Salbiah agresif, lantang

Seorang lagi yang tidak ada istilah ‘jemu’ untuk terus menulis biarpun sudah bersara pada 2011 adalah mantan Timbalan Ketua Pengarang (TKP) Perkhidmatan Berita Ekonomi, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Salbiah Said, 65.

Bukan calang-calang individu, beliau adalah wanita pertama yang dilantik menggalas jawatan penting itu sejak Bernama mula beroperasi pada Mei 1968. Berpengalaman lebih 40 tahun dalam dunia media, anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini masih tetap aktif dalam dunia kewartawanan dan kini berkhidmat sebagai penolong editor di bahagian portal, Bernama.com

“Janggal rasanya kalau tidak menulis sebab saya memang suka menulis sejak kecil sehinggalah sekarang.

“Malah, ketika menjawat jawatan penyunting, editor dan seterusnya TKP Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama saya tetap menulis. Tidak ada istilah sudah jadi editor tidak perlu menulis lagi,” kata Salbiah.

Menyertai Bernama pada 1979, beliau yang hanya bermula sebagai wartawan biasa pada awalnya mengakui bukan mudah untuk sampai ke tahap setinggi itu. Banyak cabaran dan pengorbanan perlu dilakukan sebagai seorang wartawan wanita tetapi sedikitpun tidak melunturkan minatnya untuk terus komited menghasilkan yang terbaik dalam setiap liputan.

Pernah terdedah kepada bahaya ditembak oleh komunis ketika membuat beberapa liputan pihak tentera Malaysia di sempadan Malaysia-Thai semasa bertugas di biro Pulau Pinang, sedikitpun tidak menggetarkannya untuk mendapatkan berita terbaik.

“Ketika itu, tidak fikir mengenai mati sedangkan helikopter yang dinaiki bersama tentera Malaysia berisiko ditembak oleh komunis kerana masa itu mereka masih ramai lagi.

“Dalam kepala hanya fikir berita eksklusif saja. Rasa puas apabila berita yang dihasilkan akhbar lain turut guna,” katanya.

Bagaimanapun, pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang kerjayanya dalam dunia kewartawanan adalah semasa membuat liputan tragedi Tsunami, Aceh pada Disember, 2004.

Diberi peluang oleh Datuk Seri Azman Ujang yang pada masa itu Ketua Pengarang Bernama, bagi Salbiah ia satu peluang amat berharga bagi seorang wartawan kerana tidak semua berpeluang melaluinya.

“Ketika itu saya di Singapura sebagai pewarta di sana dan menerima panggilan daripada Datuk untuk pergi Aceh. Orang kata, lifetime experience.

“Keadaan di sana sangat menyedihkan dengan mayat bergelimpangan dan ada yang telah dibungkus dalam plastik diletakkan di tepi jalan. Bau mayat begitu kuat, manakala kebanyakan bangunan habis musnah,” kata Salbiah.

Berpegang kepada prinsip, ‘Buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan rajin’, beliau berkata, wartawan wanita juga berkebolehan menduduki tempat tertinggi dalam sesebuah organisasi media tetapi perlu berani, agresif dan lantang menyuarakan sesuatu pandangan.

“Perempuan perlu menonjol tetapi bukan bodek. Menonjol dengan rajin, komited bekerja, berani menyuarakan pandangan dalam mesyuarat barulah orang nampak kita.

“Bagaimanapun, kejayaan ini ambil masa dan bukan berlaku sehari dua. Yang penting, sentiasa berusaha maju ke depan,” katanya. - BERNAMA