Ada tiga kaedah utama untuk menangani isu ini: Pengawalan Pendedahan, Pencegahan Kemalangan dan Pengawalan Kecederaan.

PENGAWALAN 
PENDEDAHAN

Bergerak dari pengangkutan awam ke pengangkutan persendirian merupakan satu kaedah yang efektif untuk mengurangkan pendedahan. Ini dipanggil sebagai strategik pengawalan pendedahan kepada risiko. Negara seperti Jepun, United Kingdom (UK), Finland dan Sweden adalah antara negara yang mempunyai rangkaian pengangkutan awam rel yang baik dan mereka mencatat angka kemalangan dan kematian jalan raya yang jauh kurang berbanding negara lain.

Justeru, pengangkutan awam rel adalah jauh lebih selamat berbanding dengan mana-mana mod pengangkutan awam dan persendirian.

Semua warga Malaysia diminta mula bergerak secara beransur-ansur dari pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan angka kemalangan jalan raya di negara kita. Dengan pengurangkan bilangan kenderaan persendirian di atas jalan raya, bilangan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tidak semua trip perjalanan, memerlukan kita menggunakan kenderaan persendirian. Sudah tentu ada setengah setengah trip perjalanan yang kita boleh diubah ke pengangkutan awam.

Justeru, pada setiap masa (musim perayaan atau tidak), kita harus beransur ansur mula bergerak ke pengangkutan awam untuk keselamatan kita di jalan.

PENCEGAHAN 
KEMALANGAN

Pengurangan kelajuan ialah strategi yang paling berkesan dalam mengurangkan kemalangan dan kecederaan jalan raya. Jika kita dapat kurangkan kelajuan kenderaan, kita mampu mengawal kenderaan dengan lebih baik. Kita akan mempunyai masa dan jarak yang mencukupi untuk respondan ini akan membantu untuk elak kemalangan. Pengurangan kelajuan memberikan kita kelebihan untuk tindak balas.

Lagi tinggi kelajuan, lagi jauh jarak diperlukan untuk membolehkan kenderaan berhenti. Ini akan meningkatkan risiko kemalangan jika ada objek di hadapan kita, kerana kemungkinan kita tidak sempat untuk memberhentikan kenderaan dengan serta merta dalam situasi kecemasan.

Kelajuan boleh menyebabkan kecederaan kerana ia membawa bersama tenaga. Lagi tinggi kelajuan kenderaan, lagi tinggi pemindahan tenaga yang akan berlaku. Bagi seorang dewasa dalam keadaan terbuka (berada di luar kenderaan – seperti pejalan kaki dan penunggang basikal), maksimum pemindahan tenaga yang mampu diserap oleh mereka ialah setakat 30 kilometer sejam (kmj) sahaja. Jika melebihi, maka kemungkinan besar akan menjadi kemalangan maut. Manakala bagi seorang yang berada dalam keadaan tertutup (berada dalam kenderaan – pengguna kereta), maksimum pemindahan tenaga yang mampu diserap ialah sehingga 50 kmj. Ini dipanggil sebagai Had Toleransi Badan.

Bagi mendapatkan bayangan tahap keparahan kecederaan dalam suatu kemalangan, ilustrasi yang mudah ialah bagi kemalangan pada 90 kmj, impaknya sama dengan jatuh dari bangunan tingkat 10. Cuba bayangkan kebarangkalian untuk selamat. Jika kita tahu kebarangkalian untuk selamat adalah kurang dan tipis, maka kita tidak boleh/mampu untuk terlibat dalam kemalangan pada 90 kmj. Seterusnya, jika kemalangan berlaku pada 70 kmj (impaknya sama dengan jatuh dari tingkat 6), kemalangan pada kelajuan 50 kmj (jatuh dari tingkat 3) dan kemalangan pada kelajuan 30kmj sama dengan jatuh dari tingkat 1 impaknya.

Ada yang berpendapat jika bawa dengan laju, kita dapat jimat masa yang banyak, tetapi sebenarnya tidak. Kajian menunjukkan bagi perjalanan sejauh 50 km dengan papan tanda had laju 90kmj, jika kita bawa melebihi had laju pada 110 kmj (amalan berisiko), kita hanya, mampu jimat sebanyak 6 minit. Adakah penjimatan sebanyak 6 minit ini membaloi memandangkan kita mengambil risiko tambahan untuk perjalanan sejauh 50 km? Apa salahnya jika kita bergerak awal 10 minit, maka kita tidak perlu bertaruh nyawa untuk penjimatan 6 minit ini yang tidak signifikan.

Pengawalan kecederaan

Strategi pencegahan dan pengawalan kecederaan yang baik ialah menggunakan segala produk keselamatan yang sedia ada bersama kita dalam kenderaan. Bila kita membeli kereta, ia datang bersama dengan tali pinggang keledar. Setiap pengguna kereta (pemandu, penumpang depan dan belakang) perlu memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan perjalanan kita dan penumpang lain dalam kereta. Tali pinggang keledar mampu mengurangkan kebarangkalian terbunuh sebanyak antara 40 hingga 50 peratus bagi pemandu dan penumpang depan serta lebih kurang 25 peratus bagi penumpang belakang. Justeru itu, setiap pengguna kereta harus menggunakan tali pinggang keledar.

Bagi pengguna motosikal, produk keselamatan yang terbaik yang kita ada buat masa ini untuk menyelamatkan mereka dari kecederaan ialah topi keledar keselamatan motosikal. Topi keledar keselamatan motosikal berkeupayaan untuk mengurangkan risiko kematian sebanyak 40 peratus dan risiko kecederaan sebanyak 70 peratus.

Justeru, semua pengguna motosikal disarankan menggunakan topi keledar keselamatan motosikal (berlabel SIRIM) mengikut saiz yang bersesuaian untuk orang dewasa dan kanak kanak.

Bagi keselamatan kanak-kanak dalam kereta, mereka harus ditempatkan di tempat duduk belakang dan bukannya di depan. Kemudahan beg udara (air bag) di kerusi depan tidak sesuai untuk kanak kanak. Beg udara adalah produk keselamatan yang sesuai untuk orang dewasa. Kanak-kanak di tempat duduk belakang harus menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang dikhaskan untuk mereka kerana ketinggian mereka mungkin tidak sesuai lagi untuk menggunakan tali pinggang keledar yang sedia ada.