Pakar Perunding Kanan Neurologi Jabatan Perubatan Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan UKM (HCTM PPUKM), Prof. Datin Dr. Norlinah Mohd Ibrahim, langkah penjagaan pesakit Parkinson perlu dititikberatkan oleh semua pihak agar golongan pesakit ini dapat meneruskan kehidupan yang baik.

“Rawatan yang ditawarkan hanya mampu mengawal gejala tetapi tidak berupaya menyembuhkan penyakit sepenuhnya dan boleh menyebabkan masalah fizikal, mental dan sosial yang berpanjangan.

“Disebabkan itu, pentingnya kesedaran terhadap penyakit ini terutama dalam aspek rawatan terkini dan kaedah rawatan lain yang dapat membantu pesakit Parkinson serta peranan ahli keluarga untuk lebih memahami penyakit ini agar dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya dalam majlis perasmian Sambutan Hari Parkinson Sedunia 2018 peringkat HCTM PPUKM, di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi sambutan berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk menambah baik rawatan Parkinson sedia ada dengan mewujudkan klinik khusus Parkinson sebulan sekali, serta menyediakan buku panduan perubatan kepada pesakit di HCTM PPUKM.

Selain itu, pusat perubatan tersebut turut bekerjasama dengan Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia (MPDA) untuk memudahkan proses pendaftaran status orang kurang upaya (OKU) kepada pesakit Parkinson dan menubuhkan kumpulan sokongan di hospital untuk membantu pesakit serta keluarga untuk lebih memahami rawatan dan cara penjagaan.

Dalam pada itu, penyakit Parkinson adalah satu penyakit kemerosotan otak yang mana bahan kimia dopamin untuk mengawal pergerakan badan yang licin berkurangan dan biasanya dihadapi warga emas.

Bertemakan Pause 4 Parkinson, Sambutan Hari Parkinson Sedunia 2018 Peringkat HCTM PPUKM dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM PPUKM, Prof. Dr, Abdul Halim Abdul Gafor. - UTUSAN ONLINE