Nurul Ayuni Asyqin Haris

Dua bidang yang seolah-olah sukar untuk dicari titik pertemuan, namun itu kebolehan yang dimiliki gadis asal dari Kota Bharu, Kelantan ini.

Jika pelajar Melayu lain tidak berminat dengan mata pelajaran Matematik, kerana sukar dan susah untuk mendapat markah tinggi, malah tidak kurang juga ramai yang kecundang, berbeza pula bagi Ayuni yang muncul cemerlang dalam subjek tersebut.

Katanya, walaupun pada awalnya agak sukar hendak menumpukan perhatian pada subjek Matematik, tetapi setelah diberikan kesedaran oleh gurunya, mula meminati subjek tersebut.

Malah, dia menganggap Matematik bukanlah subjek yang sukar difahami dan mula menyukainya semasa di tingkatan tiga setelah seorang guru mengajarnya teknik yang betul dalam menjawab soalan.

Mendapat A+ dalam matematik semasa Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ayuni adalah seorang pelajar yang cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9.

Dia menambah, bagi menggalakkan pelajar sekolah menyukai matematik, seseorang itu perlu memaksa diri dan bukan memanjakan diri.

Nurul Ayuni Asyqin Haris GAMBAR : NOOR AZLINA JAAFAR
 

Apabila terlalu bermanja diri, akan berasa malas dan suka bertangguh.

Jadikan matematik menarik dengan membuat formula sendiri dan buat dalam bentuk berlagu supaya tidak timbul bosan.

Selain itu, perlu banyak buat latihan dan jangan tinggal walaupun sehari. Cari soalan dan jawab, lakukan berulang kali.

“Dahulu semasa di sekolah, jika ada pelajar kelas saya yang gagal matematik, cikgu saya akan suruh baca Yasin di depan kelas. Katanya untuk membersihkan jiwa.

Kini, dengan kejayaan akademik yang dicapai, Ayuni terpilih dalam senarai dekan dan berusaha bagi mendapatkan ijazah kelas pertama.

“Cita-cita saya ialah hendak menjadi pegawai bank. Dalam masa sama, saya juga suka ‘bercakap’ dengan orang. Mungkin mewarisi sifat bapa saya seorang juruhebah radio,” katanya

Berbicara tentang minat dalam seni sehingga mendorongnya mengikuti pengajian Seni Persembahan, gadis ini tidak menolak kemungkinan disebabkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya.

“Sebenarnya keluarga saya adalah keluarga seni. Selain ayah sebagai seorang juruhebah, semua adik-beradik termasuk emak boleh melukis, kakak mengikuti pengajian Seni Halus di Aswara dan adik pula mengambil bidang rekaan fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sejak kecil lagi saya memang suka bercakap dan ceria. Jika saya diam, orang akan mengatakan saya demam.

Nurul Ayuni Asyqin Haris
 

“Saya pernah menjadi juruhebah Radio Himalaya di frekuensi dalam talian selama tiga tahun. Bagaimanapun sekarang saya sibuk dengan kuliah dan terpaksa memperlahankan sedikit aktiviti itu.

“Selain itu, saya turut berpeluang berlakon dalam filem arahan Raja Azmi berjudul Enjin 69,” ujar anak ketiga daripada enam beradik ini.

Walaupun sudah meningkat dewasa, Ayuni dan adik-beradiknya yang lain masih rapat serta sering bermanja dengan ayahnya.

Ini kerana, ayahnya banyak memberikan sokongan terutama dalam hal memilih bidang yang diminati, asalkan tidak mengabaikan pelajaran.

“Ayah cukup mengambil berat mengenai anak-anak terutamanya anak perempuan. Jika keluar bersama kawan-kawan, setiap 10 minit ayah akan menelefon bertanya kami di mana dan mesti balik ke rumah sebelum maghrib.

“Saya bersyukur mempunyai ayah yang mengambil berat dan tidak pernah berasa terkongkong.

Nurul Ayuni Asyqin Haris. GAMBAR : NOOR AZLINA JAAFAR
 

“Malah, ke mana saya pergi, ayah sanggup hantar dan ambil biarpun terpaksa meninggalkan kerjanya. Yang penting baginya, anak-anak selamat sampai ke tempat yang hendak dituju.

“Saya sendiri, hanya mengambil lesen kereta pada usia 23 tahun. Ayah kata dia tak mahu saya cepat mendapat lesen kerana takut kemalangan.

“Kata ayah lagi, selagi dia hidup, cakap sahaja ke mana saya hendak pergi, dia sanggup hantar. Dia bimbang jika orang mengambil kesempatan ke atas diri saya,” jelasnya lagi.