MOHD IZAZUL MD NAJIB
MOHD IZAZUL MD NAJIB

Ini kerana, mereka yang singgah untuk menikmati sup tersebut bukan hanya dalam kalangan pelanggan hotel tersebut semata-mata, tetapi ramai yang datang khusus ke Restoran The Straits Estate di hotel tersebut untuk menikmati masakan tersebut.

Eksekutif Chef, Chef Mohd Izazul Md Najib berkata, pengunjung bakal melalui pengalaman eksklusif dan menyelerakan dengan hidangan istimewa sup tulang lembu gear box yang dimasak menggunakan pelbagai rempah-ratus yang berbeza dan menyegarkan.

“Sup ini antara menu istimewa yang dimasak mengikut cita rasa orang Melayu dengan penggunaan rempah-ratus segar seperti lengkuas, serai, halia dan sebagainya.

“Sup ini berbeza kerana rasanya yang lebih manis dengan kombinasi daging lembu yang lebih lembut dan sedap,” katanya.

Tambahnya, rempah-ratus dan daging lembu itu akan direneh antara lima hingga enam jam bagi mendapatkan rasa daging lembu yang pekat pada sup.

“Bahan-bahan yang terpilih pula akan dipastikan segar dan berkualiti baik tanpa menggunakan rempah segera,” ujarnya yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kulinari.

Dalam pada itu, sup gear box ini bakal mewarnai menu sepanjang Ramadan tahun ini di samping menu-menu kampung lain seperti laksa Johor, nasi mamak hitam dan banyak lagi.

Mohd Izazul menggabungkan hidangan kampung, Jepun dan Arab untuk memenuhi cita rasa orang ramai. Pilihan menu kampung meliputi negeri-negeri sepanjang Selat Melaka termasuk Johor, Melaka dan Pulau Pinang.

Apa yang menarik, Mohd Izazul telah menyusun gerai-gerai sajian makanan sepanjang bulan Ramadan. Gerai-gerai ini bukanlah menyediakan makanan untuk dijual tetapi menyediakan hidangan khusus untuk pelanggan pakej bufet di hotel tersebut.

Sajian cita rasa kampung pastinya membangkitkan selera untuk berbuka puasa seperti bubur lambuk, murtabak, roti jala, kari ayam dan banyak lagi.

Bagi menghilangkan dahaga, anda boleh mencuba air sirap bandung, tebu, soya, air kelapa dan teh tarik.

Tidak ketinggalan beraneka kuih-muih sebagai pencuci mulut termasuk sagu gula Melaka, ais kacang dan apam balik.

“Bagi yang mahukan kelainan suasana ketika berbuka, hotel ini adalah pilihan sesuai untuk mereka. Mereka boleh menjamu selera beramai-ramai di sini bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya yang ditemui di VE Hotel & Residence, Jalan Kerinchi, Bangsar South City, Kuala Lumpur.