Itu yang menjadi pegangan seorang pencinta kucing, Roslan Tajudin, 38, yang sanggup berkorban wang dan masa membela nasib kucing-kucing jalanan, sama ada kucing yang di buang mahupun dianiaya.

Roslan, yang berasal dari Kuala Lumpur dan masih belum berumah tangga, menjadikan aktiviti tersebut sebagai tugasan wajibnya.

Setiap hari selepas habis kerja dia akan merawat dan memastikan kebersihan persekitaran kucing-kucing yang dibelanya di rumah, agar haiwan itu tetap sihat.

“Ketika saya mengambil kucing-kucing ini, ada yang terseliuh, selesema, demam, tidak mahu makan, terbiar dan berkurap. Selain itu, hampir separuh daripada kucing yang ada ini, diberi oleh tuan kucing yang enggan lagi membela haiwan itu, mungkin atas faktor kesihatan mahupun sudah tidak sanggup.

“Daripada dibuang merata-rata dan menyebabkan mudarat terhadap haiwan itu yang sebelum ini tidak pernah hidup terbiar di jalanan, biarlah saya ambil peranan menjaga secara sukarela.

“Selalunya tuan punya kucing yang akan menelefon saya kerana sudah tidak mahu lagi menjaga haiwan peliharaan mereka.

 

“Kucing-kucing yang kurang sihat akan saya rawat terlebih dahulu dengan memberi ubat sehingga sembuh. Saya akan asingkan mereka daripada kucing yang sihat agar tidak berjangkit.

“Selepas sihat, haiwan-haiwan itu akan terus saya jaga sehingga ada individu lain yang mahu membelanya sebagai tuan baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Memandangkan ruangan yang terhad di rumahnya, dia tidak kisah mengorbankan dua bilik tidurnya untuk menempatkan kucing-kucing ini. Hanya satu bilik yang digunakan untuk kegunaan diri dan ibunya yang tinggal bersama. Malah, sebenarnya Roslan lebih selesa tidur di ruang tamu.

Bilik-bilik yang menempatkan kucing dilengkapi dengan kipas dan ekzos penyedut udara bagi memastikan persekitaran bilik tidak berbau, manakala sangkar kucing, makanan, air dan bekas najis dibersihkan setiap hari.

Kesemua kucing tersebut turut dibiarkan bebas di dalam rumah tanpa dikurung.

Bermula dengan hanya seekor kucing jalanan yang dibela, sejak lima tahun lalu, kini jumlah yang berada di bawah jagaannya lebih 50 ekor, malah sekiranya dikumpul mungkin pernah mencecah sehingga 60 ekor, kerana ada di antaranya telah diberi kepada yang berminat.

“Saya pastikan mereka yang mahu membela kucing ini ikhlas dan benar-benar sayang dengan haiwan berkenaan. Saya tidak mahu haiwan-haiwan ini teraniaya apabila dijaga orang lain.

“Saya beri percuma sahaja kepada individu yang hendak menjaga. Bagi saya kucing-kucing ini bukan untuk dijual dan menjadi barang dagangan.

“Apabila menjaga kucing saya sangat fokus. Terus-terang saya katakan, saya tidak kisah kalau tidak dapat pergi bercuti ke mana-mana, tiada masa untuk kawan dan menghabiskan duit untuk kucing.

“Saya juga tidak kisah setiap hari selepas balik kerja berjaga sehingga pukul dua pagi semata-mata mahu membersihkan bilik tempat kucing-kucing ini tinggal,” katanya.

Roslan menambah, dia juga ingin berkongsi mengenai kesukaran hendak menguruskan haiwan berkenaan kerana ketidakcukupan dana, memandangkan banyak duit yang dia gunakan semata-mata untuk menjaga kucing-kucing itu.

Bertugas sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan, Roslan memberitahu, dia membelanjakan hampir RM800 untuk makanan, ubat-ubatan, pasir kucing dan perkakas yang diperlukan.

Mujur dia menerima bantuan seorang dua individu pencinta kucing lain yang turut menyumbangkan makanan dan pasir kucing, sekurang-kurangnya dapat juga meringankan beban.

Roslan memberitahu, dia juga perlukan duit untuk membawa haiwan-haiwan itu mendapatkan suntikan vaksin dan ada juga yang perlu dimandulkan, selain pembelian makanan tambahan dan ubat-ubatan.

Walaupun tidak berkira dengan perbelanjaan yang harus dikeluarkan, dia juga berharap ada pencinta kucing yang sanggup menyumbang dana bagi kesihatan kucing-kucing berkenaan.

Roslan juga sangat anti dengan orang yang selalu menyakiti kucing atau haiwan lain. Baginya, orang yang suka menganiaya haiwan patut dijatuhkan hukuman lebih berat.

Begitu juga dia berasa pelik apabila ada orang yang membiak baka kucing untuk dijual, sedangkan kucing itu ialah haiwan belaan kesayangan mereka.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai yang sudah tidak mahu menjaga kucing mereka, agar jangan membuangnya merata-rata, sebaliknya beri kepada persatuan pencinta kucing atau individu yang minat memelihara kucing agar kebajikan haiwan itu terbela.

“Selama saya membela kucing, saya pernah dituduh dengan bermacam-macam tohmahan. Ada juga yang berprasangka buruk terhadap niat saya, sedangkan mereka sendiri tidak mendapat gambaran sebenar. Semua itu bagi saya adalah cabaran yang perlu dihadapi,” tegasnya.

Dia juga berazam agar satu hari nanti akan dapat mempunyai sebuah tempat atau tanah sendiri untuk mendirikan rumah atau binaan yang lebih selesa untuk kucing-kucingnya.

Kepada yang mahu menghubungi Roslan boleh whatsapp di talian 011-23275158 atau layari Facebook roslan lan.