“Dahulu orang tidak nampak kelebihan kayu ini, menyangkakan ia sekadar kayu buruk yang dibuang oleh pihak kilang selepas selesai kerja-kerja memunggah kargo.

“Hakikatnya, kayu pallet adalah kayu yang tahan lasak. Disebabkan kegunaannya untuk kargo, kayu ini perlu melepasi piawaian dan tahap ketahanan yang tinggi dalam suhu panas mahupun sejuk. Pengesahan piawaian ini boleh dicop pada setiap pallet oleh pengeluarnya,” kata pengasas Maxtion Resourses, Faizal Ali yang giat menghasilkan perabot daripada kayu pallet.

Bersama dua rakan Sairudin Syawal, 39 dan Ridwan Low, 40, mereka melihat potensi yang ada pada perabot tersebut, khususnya bagi mereka yang mencari kelainan dan pandai menghargai keindahan kayu.

Kata Faizal, biasanya mereka akan mendapatkan bekalan pallet kayu terus dari kilang atau pembekal di Klang dan Ampang, Selangor, pada anggaran harga antara RM5 hingga RM10 bagi sebuah pallet bergantung kepada keadaan dan jenis kayu.

Katanya, keadaan kayu tersebut juga akan menentukan harga perabot yang telah siap.

“Tidak semua pallet boleh dikitar semula untuk dijadikan perabot. Paling baik dan lebih mahal jika menggunakan kayu padu yang tidak ada kesan paku.

“Biasanya paling disukai pelanggan adalah daripada jenis kayu pine kerana urat kayu yang cantik dan unik,” katanya.

Menurut Faizal, buat masa ini Maxtion Resources mempunyai dua kaedah pemasaran, iaitu tempahan terus dan sewaan.

Bagi tempahan, biasanya mengikut apa yang dikehendaki pelanggan seperti set meja makan untuk restoran, almari, kaunter, kabinet dapur dan sebagainya.

Selain itu, syarikat tersebut juga satu-satunya yang menawarkan khidmat sewa perabot kayu pallet terutama untuk acara-acara besar seperti ekspo, pameran dan sebagainya.

“Terbaharu kami membekalkan perabot untuk ruang makan bagi Ekspo Muafakat Kedah di Sungai Petani. Selain set meja makan, kami turut menyediakan ruang pameran, gerai dan pentas kecil yang kesemuanya bersifat mudah alih dan pasang siap.

“Kami juga dalam misi menyiapkan taman permainan kanak-kanak daripada kayu-kayu pallet, di samping menghasilkan produk-produk hiasan kecil seperti kotak cincin, kotak gantung kunci, dulang hantaran dan sebagainya,” katanya.

Faizal percaya perabot kayu pallet akan terus mendapat tempat dan diminati apatah lagi kini sesetengah perabot kualitinya hampir menyamai perabot kilang.

Bagi yang berminat untuk melihat atau membuat tempahan perabot kayu pallet boleh layari facebook Maxtion Resources atau hubungi 013-2081900. - UTUSAN ONLINE