Paling penting, dia mahu mengikut jejak langkah abangnya yang pernah dinobatkan sebagai tokoh pelajar kokurikulum.

Bagaimanapun, segala keinginan anak bongsu daripada dua beradik ini hanya tinggal kenangan kerana kini disahkan menghidap kanser tulang jenis Osteosarcoma.

Daripada seorang kanak-kanak yang ceria, Nur Syazana atau lebih mesra dengan panggilan Syazana, berubah menjadi seorang yang pendiam.

Bukan itu sahaja, ibunya, Nur Qaireen Saffiya Abdul Gani, 36, memberitahu emosi kanak-kanak itu juga sering terganggu dan adakalanya menangis atau marah secara tiba-tiba.

Bercerita mengenai keadaan anaknya itu, Nur Qaireen berkata, segala-galanya ‘terbongkar’ pada Mei lalu apabila Syazana sering mengadu kakinya selalu kebas, manakala pada bahagian tapak kaki seperti dicucuk jarum.

Rentetan itu, pada 6 Jun lalu Syazana dibawa ke hospital kerana bengkak pada bahagian atas lutut sebelah kiri dilihat semakin kritikal.

Setelah x-ray dan biopsi dilakukan, keputusan yang diperoleh menunjukkan dia positif kanser tulang.

 

Berita tersebut bukan sahaja meluluhkan hati seorang ibu, malah ‘meranapkan’ hati Syazana, apatah lagi apabila doktor memberitahu tulang pahanya (femur) perlu menjalani rawatan implan (femur growing implant).

Tidak cukup dengan itu, kedua beranak ini turut dikhabarkan bahawa sel-sel kanser telah merebak ke bahagian paru-paru.

Berpeluang berjumpa dengannya baru-baru ini, Syazana ternyata sedih dengan apa yang menimpa, malah tidak dapat menerima hakikat keadaannya kini tidak lagi seperti dahulu.

Tidak lagi mampu bergerak seperti biasa, Syazana yang telah selesai menjalani rawatan kimoterapi pusingan pertama terpaksa menggunakan kerusi roda dan mengalami keguguran rambut.

Dia juga tidak banyak bercakap, hanya memerhati dan mendengar apa yang dibualkan oleh ibunya.

Sambil mengenakan topeng muka dan hud di kepala, sesekali dia menjawab sepatah demi sepatah setiap soalan yang diutarakan.

Menurut Nur Qaireen, semuanya berlaku secara mendadak tanpa diduga.

“Baik saya mahupun Syazana, kami sukar menerima kenyataan ini kerana barah bukan penyakit yang biasa-biasa dan dalam keluarga tidak ada sesiapa pun yang menghidap penyakit ini.

“Sejak Syazana tahu dia sakit, saya sebagai ibunya sendiri susah hendak memahami kerana keadaannya tidak boleh ‘diramal’, sekejap baik sekejap tidak. Saya sendiri kena banyak bersabar dan mempersiap diri dengan segala kemungkinan.

“Saya lihat dia sangat kecewa kerana sebelum ini di sekolah dia disayangi ramai tetapi kini keseorangan tidak dapat ke sekolah,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Mengambil cuti separuh gaji sehingga hujung tahun untuk menjaga anaknya, Nur Qaireen yang merupakan ibu tunggal, buntu dengan keadaan yang dihadapi.

Bukan hanya perlu memikirkan kos rawatan dan pembedahan anak, malah kos-kos lain juga perlu ditanggung selain perbelanjaan harian.

Cukup menyedihkan apabila slip gaji Nur Qaireen bulan lalu dilihat tiada baki untuknya dijadikan belanja harian jauh sekali untuk menampung kehidupan sekeluarga.

“Saya tiada simpanan kerana selama ini gaji yang saya dapat sekadar cukup untuk perbelanjaan kami sekeluarga.

“Namun, alhamdulillah Lembaga Zakat Selangor beri bantuan RM400 sebulan yang saya mula terima hujung bulan lalu. Duit itulah yang digunakan untuk perbelanjaan saya anak beranak selain ibu yang tinggal bersama saya.

“Selain susu khas untuk Syazana, duit pengangkutan ulang alik ke hospital, perbelanjaan anak sulung di asrama, dan perbelanjaan harian, kadangkala saya perlu membeli peralatan perubatan untuk Syazana yang tidak dijangka.

“Bagaimanapun, saya berasa lega kerana kos pembedahan yang dijangka 12 September ini sebanyak RM50,350 dan kos rawatan harian ini, ditanggung sepenuhnya oleh majikan saya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya lagi.

Tidak mengharapkan bantuan daripada bekas suami kerana mengetahui lelaki itu juga tidak berkemampuan, Nur Qaireen cuma berharap segala urusan Syazana akan dipermudahkan dan penderitaannya akan berakhir.