Berbeza dengan lelaki ini yang saya panggil Azril (bukan nama sebenar). Kisahnya bukanlah hebat tetapi saya rasa ia boleh dijadikan teladan oleh kaum lelaki yang menghadapi situasi yang sama.

Seperti kata Azril, kadang kala kita tidak boleh berdiam diri dengan apa yang kita alami, sebaliknya ia perlu diluahkan supaya jadi pengajaran kepada masyarakat.

Ikuti cerita Azril seperti di ceritakan kepada saya.

“Saya berusia lewat 50-an, mempunyai tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya sudah bekerja. Saya berkahwin dengan cinta hati saya semasa sama-sama menuntut di universiti tetapi berpisah empat tahun lalu kerana orang ketiga.

“Dapat isteri bijak dan hebat juga satu masalah bagi suami, itu pandangan saya. Suami akan makan hati, kerenah isteri kena telan bulat-bulat, jika ditegur akan huru-hara rumah tangga. Tapi suami biasanya sangat sabar sebab sayang isteri, dan rumah tangga.

“Sayangnya isteri tidak tahu menghargai kebaikan suami. Malah mereka ambil kesempatan dan berbuat sesuka hati tanpa memikirkan perasaan suami. Pergaulan tanpa batas dan kerja yang tidak menentu meletakkan suami dalam keadaan serba salah.

“Mereka lupa tanggungjawab dan hukum hakam agama sebagai isteri. Keluar rumah sesuka hati, anak-anak langsung tidak ada peluang bermesra dengan ibu sendiri sebab ibu asyik sibuk keluar masuk rumah macam hotel.

“Dari kecil, anak-anak sudah terbiasa hidup sendiri, membesar di asrama dan berdikari. Ada ibu atau tidak sama sahaja. Malah semasa anak-anak belajar, hendak melawat anak-anak di kolej dan asrama juga tidak ada masa. Saya yang jadi pengunjung setia.

“Sibuknya mengalahkan menteri. Saya dan anak-anak bertahun-tahun makan hati. Akhirnya kesabaran saya sampai hadnya apabila saya dapat tahu dia ada hubungan dengan rakan sekerjanya.

“Hancur hati saya. Luluh jiwa raga. Isteri yang ditatang macam minyak yang penuh beralih kasih. Patutlah sibuk memanjang. Rupa-rupanya, mereka sudah lama menjalin hubungan kasih. Saya yang bodoh terlalu percayakan dia. Dayusnya saya.

“Tapi saya kuatkan semangat kerana saya percaya kepada qadak dan qadar Allah. Saya lepaskan dia dengan hati yang sedih. Anak-anak kekal bersama saya, sebab mereka memilih untuk bersama saya. Mereka amanah Allah yang perlu saya jaga sampai ke akhir hayat. Saya reda dengan ketentuan Allah.

“Bulan pertama sangat menyedihkan saya. Kenangan bersama isteri bermain di mata. Menitis juga air mata saya. Mujur, anak-anak memberi semangat supaya saya kuat. Merekalah semangat dan kekuatan saya untuk terus hidup. Saya kuat kerana mereka.

“Hidup sebagai duda ini, banyak dugaannya. Bila kita keluar dengan berpakaian kemas dan berbau wangi, jiran-jiran mula buka mulut, perli konon kita nak cari pengganti, nak pergi dating lah. Pada hal, kita tak ada langsung nak ke arah itu. Tapi kena tahanlah sebab itu sudah lumrah.

“Mak dan keluarga sibuk nak cari jodoh, juga kawan-kawan. Yang menghimpit nak beli jiwa juga ramai, tapi hati saya sudah tertutup untuk wanita.

“Saya malu kepada anak-anak, ibu bapa dan keluarga kerana apa yang terjadi kepada rumah tangga saya. Kalau dahulu keluarga bangga dengan kehebatan isteri saya, sekarang semua mengata. Tebal muka saya, sampai nak balik kampung pun saya malu.

“Tapi saya kena kuat untuk hadapi semua ini. Saya ingin berpesan kepada para suami, berhati-hati kalau isteri anda terlalu hebat dan berjaya. Jangan lepas tangan dan ambil mudah. Kawal pergerakan mereka. Ingatkan mereka dengan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu.

“Nasihat dan teguran itu penting. Supaya mereka beringat dan tidak ambil kesempatan. Saya tidak tahu orang lain tetapi saya mungkin antara suami yang tidak bernasib baik kerana berpisah di hujung usia. Saya memang berharap rumah tangga akan kekal sampai hujung nyawa tapi perancangan Allah lain pula.

“Semuanya kerana kelalaian saya. Tidak ambil berat akan kebebasan isteri. Terlalu ikut arus dan keadaan. Biarkan isteri terlalu bebas dengan kerjaya, ke sana sini tanpa halangan. Memang betul kerjaya itu penting tapi kalau sampai mengabaikan rumah tangga, akhirnya kita sendiri yang merana.

“Apapun setiap pergerakan isteri perlu dikawal. Hebat dan berjaya bukan segala-galanya, tanggungjawab di sisi Allah itu yang perlu diutamakan. Itu yang kita sebagai suami kena jaga.

“Dan saya sudah terima habuannya. Saya reda dan tidak menyalahkan sesiapa. Saya mula tenang sekarang. Anak-anak semakin dewasa dan matang. Saya tidak menghalang mereka berjumpa ibu mereka walaupun dia sudah berkahwin lain.

“Saya anggap ini ujian Allah untuk saya. Saya terima dengan reda dan akan muhasabah diri. Saya akan teruskan hidup saya. Buat masa ini, pintu hati saya sudah tertutup untuk wanita, tidak tahu pada masa hadapan.

“Apapun saya serahkan semuanya kepada Allah. Mungkin ini ujian untuk saya. Semoga Allah lindungi kami sekeluarga dan permudahkan urusan hidup saya selepas ini , “ Azril menutup ceritanya.

Saya berdoa moga Allah lindungi keluarga Azril daripada sebarang perkara yang buruk dan sentiasa memberkati hidup mereka di dunia dan akhirat. Banyak pengajaran yang boleh diperoleh oleh mereka yang membaca kisah Azril terutama kaum Adam.

Bersikap positif dan jangan peduli apa orang nak kata, yang penting, apa yang kita rasa terbaik untuk diri kita dan keluarga, laksanakanlah.

Menamatkan catatan, pesanan saya, hidup ini walaupun tidak selalu indah akan nampak cantik dengan ujian dan cabaran yang dilalui. Semuanya kerana Dia yang perancang terbaik hidup manusia.