Sesetengah mungkin percaya imej di dalam foto itu benar, tetapi ada juga menganggap gambar sedemikian telah disunting oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu.

Bagaimanapun, mereka yang pernah mengalami sendiri insiden itu menyatakan setelah melihat semula foto yang telah dirakam, mereka benar-benar terkejut sehingga membuatkan bulu roma meremang apabila melihat imej ‘tidak dipelawa’ itu.

Banyak berita mengenai penampakan imej misteri di dalam foto dilaporkan di media dan menjadi tular.

Begitupun, kesahihannya masih sukar dikenal pasti memandangkan dunia teknologi maklumat pada masa kini semakin canggih.

Di Malaysia, heboh pada 2015 apabila dua keping gambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu selepas kejadian gempa bumi yang mengorbankan 19 nyawa memperlihatkan imej misteri.

Sepasang tangan misteri yang muncul di dalam dua keping gambar yang diambil oleh pelawat ketika itu menimbulkan tanda tanya kerana menurut pihak yang terlibat, mereka langsung tidak menyunting atau mengubah secara grafik gambar tersebut.

Di dalam kejadian itu, beberapa lelaki dari Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) bergambar sambil menyampaikan sumbangan untuk Tabung Gempa Bumi Gunung Kinabalu bagi membantu malim gunung yang terjejas akibat kejadian tersebut.

Imej diambil menggunakan telefon bimbit dan setelah diamati semula, terdapat imej yang pelik di dalam gambar itu.

Penampakan imej sedemikian menyebabkan pihak terbabit terkejut memandangkan imej tangan misteri yang kelihatan bukanlah anggota tubuh individu yang ada di dalam gambar itu.

Sebelum itu, pada 2011, satu imej yang dipaparkan di dalam akhbar tempatan menjadi perhatian terutama dalam kalangan netizen apabila gambar yang diambil ketika kemalangan menunjukkan penampakan misteri di kawasan terbabit.

Ketika berlaku kemalangan di Jalan Kuantan ke Gambang, Pahang, seorang petugas trak tunda merakamkan gambar kenderaan yang remuk akibat berlanggar dengan pokok. Namun setelah diamati semula, dia melihat tiga imej manusia yang jelas di dalam gambar itu.

Menurutnya, semasa merakam gambar tersebut, dia tidak pula melihat ada orang berdiri di depan kenderaan yang remuk itu.

Di ceruk dunia yang lain, pelbagai laporan mengenai gambar misteri menjadi tajuk-tajuk akhbar.

Di daerah Northumberland di United Kingdom pula, seorang ibu kepada dua anak melalui pengalaman menyeramkan apabila mendapati imej budak muncul di belakang anak lelakinya ketika sedang bergambar di sebatang pokok.

Laura Watson mendakwa imej budak itu kelihatan memegang bahu anaknya di dalam gambar itu.

Ketika kejadian, Laura dan ahli keluarganya sedang beriadah di Taman Hutan Plessey dan dia mengambil gambar anaknya Charlotte Hill, 15, Byrin Watson, 9 dan sepupu mereka Jack, 16.

Laura kemudian menyedari terdapat imej seorang budak lelaki di belakang anaknya di dalam gambar itu, walaupun tiada sesiapa yang lain menyertai perkelahan mereka pada hari itu.

Beliau yang sebelum ini tidak mempercayai dunia paranormal berkata, selepas insiden itu, dia mengubah persepsi kerana imej budak lelaki itu sangat jelas kelihatan berdiri di belakang Byron di dalam gambar itu.

“Saya dan anak-anak tidak dapat tidur pada malam kejadian, kerana memikirkan hal itu. Kami semua ketakutan,” katanya.

Ada berpendapat, imej itu merupakan jelmaan roh seorang budak yang mati lemas di kawasan taman itu beberapa tahun lalu.

Sungguhpun begitu, terdapat sebilangan pihak mempunyai penjelasan tersendiri mengenai imej misteri yang muncul di dalam gambar-gambar sedemikian.

Menurut mereka, ia bukanlah imej paranormal, sebaliknya terjadi disebabkan aspek saintifik dan teknikal ketika gambar diambil dengan kamera.

Penyelidik paranormal seringkali percaya hantu atau entiti misteri mampu dikesan dengan menggunakan peralatan moden termasuk merakam kelibatnya.

Namun, kelibat yang dirakam tidak memperlihatkan bentuk hantu seperti yang sering dimomok di dalam filem seram.

“Imej yang diperoleh ini dikategorikan kepada beberapa bentuk.

“Antaranya bentuk orb iaitu cahaya bulat yang bergerak di udara; ektoplasma atau kabus, wap atau asap; vorteks iaitu garisan cahaya yang bergerak laju; cahaya jingga, putih dan biru yang berkerlipan, selain bentuk bayang hitam.