Manakan tidak, persalinan pengantinnya sahaja berjenama Atelier Versace bernilai RM1.6 juta dan direka khas oleh pereka fesyen terkenal Donatella Versace khusus untuk majlis persandingan itu.

Malah, jurusolek kegemaran artis Hollywood terkenal, Jennifer Lopez dan Kim Kardashian, iaitu Mario Dedivanovic telah diterbangkan khas dari Amerika Syarikat bagi menyolek wanita ini yang juga merupakan peminat Jennifier Lopez.

Ketika itu, Ida Suraya mungkin kurang dikenali, namun dalam kalangan usahawan, dia merupakan usahawan Bumiputera yang mempunyai perniagaan bernilai jutaan ringgit dalam bidang kejuruteraan.

Dia merupakan Pengarah Urusan Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat kejuruteraan tempatan yang turut beroperasi di luar negara.

Selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Eletrik, Elektronik dan Sistem di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dia bekerja hampir enam tahun sebagai jurutera di Perwaja Steel Sdn. Bhd.

Jelasnya, dia tergerak hati menceburi bidang perniagaan selepas melihat kejayaan dan layanan orang terhadap Pengarah Perwaja Steel pada masa itu, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

“Saya berkata pada diri sendiri, saya juga mahu kaya sepertinya. Saya beranikan diri berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri,” katanya.

Kini, selepas 10 tahun berjaya dalam bidang peniagaan berkaitan kejuruteraan, termasuk membekal dan menyelenggara peralatan mekanikal dan latihan teknikal, Ida Suraya masih belum puas dengan kejayaan diri. Dia berjinak-jinak pula dengan perniagaan baru, iaitu fesyen dengan mengasaskan jenamanya sendiri, iaitu Bianco Mimosa.

Bidang fesyen bukan sesuatu yang asing bagi dirinya yang meminati fesyen berjenama.

Dia berpeluang menghadiri pertunjukan fesyen jenama terkemuka termasuk di luar negara. Wajahnya sering dilihat duduk di barisan hadapan sebaris dengan selebriti dan pereka fesyen terkenal antarabangsa.

“Saya memilih nama tersebut yang diambil daripada bahasa Itali. Bianco membawa maksud putih sementara Mimosa adalah nama saintifik bagi tumbuhan semalu yang menjadi kesukaan saya.

“Bianco Mimosa menyediakan koleksi sedia dipakai (RTW) dan turut mengambil inspirasi daripada pereka fesyen luar negara. Fabrik yang digunakan didatangkan khas dari pelbagai lokasi di luar negara termasuk Itali, Perancis, United Kingdom, Turki, Afrika Selatan, India, Vietnam dan banyak lagi,” katanya semasa ditemui di Butik Bianco Mimosa di Pusat Komersial TSB, Sg. Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Kini, Ida Suraya maju setapak lagi dalam industri fesyen apabila menjadi pengedar dan pengedar tunggal beberapa jenama fabrik mewah dari Eropah selain menghasilkan sendiri rekaan fabrik yang berkualiti tinggi.

Dia turut mencipta nama di persada antarabangsa apabila awal tahun ini dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Minggu Fesyen Antarabangsa Dubai (IFWD), Emiriah Arab Bersatu selama tiga tahun.

Pelantikan itu menjadikannya muncul sebagai pereka fesyen pertama tempatan dan negara Asean yang berjaya menduduki jawatan tertinggi bagi minggu fesyen yang terkenal dalam kalangan industri fesyen di seluruh dunia itu.

Dengan pelantikan tersebut, Ida Suraya akan menjadi juri bagi semua pertandingan dan anugerah selain bertanggungjawab merangka pembangunan perniagaan fesyen di dunia merentasi Dubai hingga ke kota fesyen Paris, Perancis.