Pemilik Restoran Cilantro, Mohamad Amar Sobri, 30, membina kehijauan di sekitar restorannya berlatarkan tumbuhan herba.

Ternyata konsep taman herba Inggeris yang diterapkan itu bukan sekadar menawarkan keindahan semula jadi, malah boleh menjadi pelengkap ramuan dalam masakan. Tampil dalam suasana santai tapi eksklusif untuk menjamu selera bersama keluarga atau rakan.

“Terdapat tujuh jenis herba yang berasal dari tanah tinggi ditanam terdiri daripada thyme, rosemary, oregano, mint, lemon balm, basil dan stevia dengan khasiat tersendiri.

“Menariknya anda boleh memetik sendiri daun herba yang digemari untuk digunakan ketika memanggang daging kambing atau lembu.

Ini bermakna para pelanggan boleh menikmati menu berbeza dan merasai sendiri daun herba segar yang akan menjadi pengalaman paling menarik jika berkunjung ke sini.

Uniknya, anda boleh memetik herba dan dijamu bersama hidangan daging salai yang berkualiti tinggi daripada Karnivor Malaya.

“Kami memperkenalkan konsep memasak secara salai (smoked) yang diadaptasikan daripada teknik memasak daging lembu dari Texas, Amerika Syarikat berinspirasikan Franklin Barbeque.

Daging khusus

Menurut pengasas Karnivor Malaya, Ahmad Faisal Razali, teknik memasak secara salai konsep Barat ini masih baharu di pasaran tempatan dan ia berpotensi untuk diketengahkan di pasaran memandangkan selera dan gaya hidup pelanggan yang sentiasa berubah serta mampu berbelanja besar untuk menikmati makanan yang sedap dan unik.

“Proses salai juga berbeza kerana ia menitikberatkan teknik dan hanya menggunakan keratan daging khusus, suhu dan jenis kayu yang digunakan.

“Pemilihan kayu yang betul seperti Oak dan Hickory boleh didapati di luar negara kerana ia memiliki kan­dungan lignin yang akan memberi rasa dan aroma pada daging,” kata­nya.

Tambahnya, penggunaan dapur khas yang dikenali sebagai Thermodynamic untuk me­nyalai daging amat penting, disebabkan itu pihaknya telah mengubah suai peralatan yang dibeli di pasaran biasa tersebut untuk mendapatkan kawalan suhu yang baik dan kitaran asap yang optimum untuk daging.

“Untuk mendapatkan menu Smoked Beef yang lazat dan lembut, ia perlu disalai dalam tempoh 12 hingga 24 jam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Amar dan Ahmad Faisal menggalakkan orang ramai yang ingin menikmati hidangan daging dalam suasana yang berbeza supaya berkunjung ke restoran ini. Bukan sahaja menampilkan suasana seperti restoran koboi, anda boleh menikmati pelbagai hidangan Barat dengan kualiti terbaik dengan sentuhan herba tempatan.

Sementara itu, restoran ini boleh memuatkan 40 orang dalam satu-satu masa dan menampilkan ruang makan gaya industri yang dipasang sendiri (DIY) menggunakan kayu palet dan bahan terpakai lain.

“Kerusi dan meja makan diperbuat daripada kayu palet, sementara pagar restoran menggunakan saluran paip PVC. Saluran paip berwarna putih itu kemudian ditebuk lubang kecil untuk dimuatkan pokok herba dalam pasu,” jelas Mohamad Amar.