TLDM semakin mengorak langkah ke hadapan dalam menjaga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) selepas perolehan dua jenis helikopter iaitu Fennec dan Super Lynx pada tahun 2004.

Super Lynx milik TLDM memainkan peranan penting, lebh-lebih lagi ia dilengkapi dengan sistem persenjataan jenis Sea Skua yang turut digunakan pelbagai negara lain termasuk United Kingdom (UK) .

Jika dinilai daripada kelas sama yang berlainan jenis, Super Lynx tetap mempunyai kelemahan dan kelebihan tersendiri sama seperti helikopter jenis NH90, HSM-77 SaberHawks, KA-28 atau AW101

Namun peranan jentera ini dalam membantu kapal perang tidak dapat dinafikan lebih-lebih lagi dengan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dalam beberapa tahun nanti.

Kekuatan LCS TLDM juga sudah tentu lebih berbisa jika turut didatangkan secara pakej dengan perolehan helikopter maritim baharu.

Bagaimanapun, ia perlu dilihat dari pelbagai sudut antaranya kos pembelian dan penyelenggaraan, kesesuaian dan latihan untuk dioperasikan di atas kapal.

Difahamkan sebelum ini , syarikat Leonardo yang menjadi pengeluar helikopter AW159 (dahulu dikenali sebagai Agusta Westland) telah menjalani latihan uji nilai helikopter bersama TLDM. Maka beberapa spekulasi mengaitkan perolehan jentera tersebut untuk TLDM bukanlah satu perkara baharu.

AW159 merupakan sebahagian produk Leonardo bawah program Future Lynx iaitu program naik taraf helikopter Super Lynx bagi menyaingi syarikat pengeluar helikopter lain.

REKA BENTUK

Jika dilihat perbandingan antara Super Lynx dan AW159, reka bentuknya tidak banyak beza antara kedua-dua helikopter ini terutama panjang dan berat.

Sudah tentu perolehan LCS nanti tidak mendatangkan banyak masalah jika TLDM memutuskan untuk mendapatkan AW159 kerana saiz yang sama antara kedua-duanya membolehkan helikopter ini beroperasi di kapal-kapal lain milik TLDM.

Spesifikasi AW159 yang diibaratkan sebagai ‘generasi kedua’ Super Lynx ini juga lebih canggih dengan kerangka yang kukuh untuk menahan hentakan jika terhempas. Malah helikopter ini mempunyai kelajuan lebih baik dengan sistem transmisi yang dinaik taraf.

Bagi sistem persenjataan pula, AW159 mampu membawa lapan peluru berpandu antipermukaan. Malah syarikat Thales sendiri pernah menerima kontrak untuk membekalkan peluru berpandu Sea Venom bagi kegunaan tentera laut beberapa negara, di samping kemampuan membawa torpedo dan misil jenis lain bagi persediaan peperangan antikapal selam.

Selain itu, lebih 90 peratus komponen Super Lynx berbeza dengan Wildcat melainkan enjin dan rotor utama, di samping sistem kotak gear yang lebih lasak dengan kemampuan untuk terbang sehingga 30 minit jika minyak hidraulik kering.

Helikopter jenis ini turut dilengkapi radar 360 Active Electronic Scanning Array (AESA) jenis Selex Seaspray 700e buatan BAE System dan mampu mengesan kehadiran kapal selam dengan sistem Dipping Sonar jenis Thales Compact Flash berbanding AN/AQS -18 yang kini digunakan oleh Super Lynx.

Maka tidak hairanlah Tentera Britain antara pengguna utama helikopter ini bawah program Army Battlefield Reconnaissance Helicopter dan Royal Navy Surface Combatant Maritime Aircraft (SCMR).

Walau bagaimanapun, perolehan aset seperti ini bergantung kepada keputusan kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan dan Menterinya, Mohamad Sabu.

Apa yang penting secara asasnya, TLDM dan beberapa agensi kerajaan lain mempunyai pengalaman mengendalikan helikopter keluaran syarikat ini.

Jika LCS TLDM menjadi platform untuk AW159, mungkin beberapa proses seperti latihan, penyelenggaraan dan alat ganti lebih mudah kerana pengalaman yang sebelum ini antara kedua-dua pihak. Dan apa yang penting kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan pengguna dapat menerima manfaat sama ada dari aspek jangka pendek atau panjang.